Jaipk kesan RM7.8 juta wang masjid tidak digunakan

IPOH – Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) melalui kajian Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengesan berlakunya pembekuan wang masjid di seluruh negeri ini melibatkan jumlah keseluruhan hampir RM8 juta.

Pengarahnya, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, kajian bertajuk Eksplorasi Dana Kewangan Masjid di Negeri Perak yang dijalankan pada 2012 lalu itu mendapati, terdapat RM7.8 juta hasil simpanan bank milik 668 masjid, tidak digunakan.

Menurutnya, keadaan itu berkemungkinan berlaku akibat salah faham dan kekeliruan kalangan jawatankuasa masjid sendiri dalam pengurusan kewangan termasuk yang diterima melalui derma orang ramai dan tabung Jumaat.

 

“Ada antara mereka menyangkakan wang derma ini untuk kegunaan urusan imarah masjid sahaja seperti bayaran penceramah, bil elektrik serta air, sedangkan boleh digunakan atas perkara-perkara lain. Jika ia melibatkan RM2,000 hingga RM3,000 tidak mengapa kerana ia mungkin disimpan untuk kerja-kerja penyelenggaraan, tetapi ini mencecah jutaan ringgit.

“Hal ini tidak sepatutnya berlaku dan kita di Jaipk sedang berusaha mewujudkan garis panduan agar setiap jawatankuasa mempunyai satu cara khusus bagaimana nak gunakan wang tabung masjid masing-masing,” katanya kepada pemberita sempena Majlis Executive Talk dan Perutusan Tahun Baharu 2018 di Dewan Saidina Abu Bakar, Institut Tadbiran Islam Perak (Intim), hari ini.

Beliau berkata, garis panduan yang bakal diperkenalkan itu merupakan lanjutan  Sistem Pengurusan E-Akaun Masjid (SPeAK) yang dilancarkan Jaipk, Ogos tahun lalu dengan kerjasama KPerak.

Katanya, penetapan garis panduan itu telah memasuki peringkat akhir dan akan digunapakai pada suku pertama tahun ini sebaik diluluskan Jawatankuasa Fatwa.

“Pengenalan garis panduan ini nanti dapat mengelak sebarang tanggapan atau tohaman pihak lain yang mungkin mempersoalkan kemana sebenarnya duit masjid ini dibelanjakan,” katanya.

Dalam majlis itu, turut berlangsung majlis menandatangani ikrar bebas rasuah bersama Pengarah SPRM Perak, Datuk Zainul Darus disaksikan Exco Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Nizar Zakaria.

Guna Kaedah Bersemuka Jawab Pelbagai Isu-JASA

IPOH:Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) akan menjawab segala persoalan yang diutarakan oleh semua kelompok masyarakat menerusi penganjuran Townhall JASA Jelajah Komuniti 2018.

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas JASA, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata siri Townhall tersebut merupakan satu pendekatan JASA dalam menjelaskan isu semasa yang berlaku pada masa kini.

“JASA bukan sahaja menggunakan kaedah media sosial tetapi juga mengunakan kaedah bersemuka melalui sesi dialog dan kami akan meraikan soalan serta pandangan daripada audien,” katanya.

Terdahulu katanya siri Townhall JASA yang dilaksanakan di peringkat kampus universiti memasuki siri ke-54,telah mendapat sambutan hangat serta menerima pelbagai soalan melibatkan pelbagai isu seperti 1MDB, 2.6 bilion dan pelbagai perkara.

“Kita menampilkan panel terdiri daripada anak muda kerana anak muda gemar mendengar pandangan anak muda sendiri dan bagi siri kali ini Jasa memulakan sesi dialog di peringkat kepimpinan akar umbi melibatkan guru kafa, Imam dan ketua masyarakat,” katanya kepada media selepas menghadiri Townhall JASA Jelajah Komuniti 2018 bertempat di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Seri Iskandar di sini hari ini.

Katanya, siri jelajah ini akan diteruskan ke setiap lokasi terpilih kerana ia merupakan sebahagian tanggungjawab JASA memberikan maklumat jelas kepada kesemua kelompok masyarakat.

“Pagoh akan menjadi lokasi jelajah seterusnya selepas ini dan kita terbuka memilih sasaran audien terutama pemimpin akar umbi malah fokus penerangan juga diberikan juga kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kerana mereka memerlukan penjelasan.

“Kaedah bersemuka masih penting yang mana mereka boleh bertanya terus kepada panel dengan apa sahaja bentuk soalan kerana rakyat perlu mendapat penjelasan yang jelas,” katanya.

Sementara itu,Ahli Parlimen Parit Datuk Mohd Zaim Abu Hasan, berkata seramai 500 orang peserta yang terdiri daripada Pengerusi masjid, Imam, Guru Kafa, ketua kampung dan ketua masyarakat telah menghadiri sesi Townhall tersebut.

“Melalui kaedah dialog sebegini sesi soal jawab dibuka dan para barisan panel akan menjawab soalan tersebut berkaitan dengan isu masyarakat, masalah sosial dan media masa jadi mereka akan mendapat maklumat dengan lebih terperinci,” katanya.

Pada sesi townhall kali ini, menampilkan tiga barisan panel iaitu Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik JASA, Tun Faisal Ismail Aziz, Mantan Pengerusi Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan Muhammad Farhan Khairuddin dan Ketua Unit Khas JASA Ustaz Shamsul Muda.

Umum Keluar PAS: Mahfuz Tiada Kredibiliti

IPOH: Keputusan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang mengumumkan keluar daripada PAS membuktikan bahawa pemimpin pembangkang itu tidak mempunyai kredibiliti sebagai seorang wakil rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata Mahfuz pada siri-siri ceramahnya sering memomokkan masyarakat kononya hanya PAS lebih baik daripada Barisan Nasional (BN), namun kini, dia dilihat berpaling padah dengan partinya sendiri.

“Kita cukup tahu bahawa Mahfuz ini merupakan ahli politik pembangkang yang cukup lantang dan agresif menyerang UMNO serta BN, malah sering menyifatkan hanya partinya yang terbaik.

“Tetapi kini berlaku sebaliknya di mana dia meninggalkan parti yang didokongnya lebih daripada 30 tahun,” katanya.

Tambahnya lagi, pengumuman Bekas Naib Presiden PAS itu juga bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

“Kalau dilihat daripada ulasan ahli-ahli PAS sendiri, tindak-tanduknya itu telah lama dapat dihidu di mana sejak akhir-akhir ini dia sering mengeluarkan kenyataan yang tidak selari dengan partinya,” ujarnya ketika dihubungi Perak Today, hari ini.

Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah berkata rakyat kini sudah dapat melihat rentak pemimpin pembangkang yang dilihat tidak konsisten dalam perjuangan mereka khususnya untuk membela nasib rakyat.

“Rakyat perlu buka mata dan lihat sendiri yang mana walaupun ada segelintir pemimpin yang menghentam UMNO dan BN namun kitalah yang sebenarnya konsisten dengan perjuangan membangunkan masyarakat dan negara.

“Berbanding dengan pembangkang yang dilihat hanya berjuang atas kepentingan sendiri.

“Apabila cita-cita mereka tidak tercapai, mereka mula buat keputusan untuk mengkhianati parti,” katanya.

Jelasnya lagi, walaupun terdapat sedikit permasalahan dalaman parti-parti BN namun beliau berkata, BN sentiasa mempunyai jalan penyelesaian yang terbaik dan sentiasa mengamalkan semangat bermusyawarah berbanding pembangkang yang sering menunding jari antara satu sama lain.

Sue Mesre 2.0 Qariah Blanje Kembalikan Nostalgia Tanjung Belanja

PARIT: Program Sue Mesre 2.0 Qariah Blanje di Kampung Tanjung Belanja Kiri dekat sini, hari ini mengembalikan semula nostalgia penduduk kampung ketika zaman 30 dan 40 tahun lalu.

Selain itu, ia turut merapatkan silaturrahim dan semangat kerjasama penduduk empat buah kampung di dalam mukim Belanja, yang dari segi asal-usulnya mempunyai kaitan persaudaraan.

Empat kampung itu ialah Kampung Tanjung Belanja Kiri, Kampung Tua, Kampung Sadang dan Kampung Changkat Banjar.

Pengerusi program, Mohd Nasir Yop Ahmad berkata, program itu adalah yang kedua tetapi kali pertama pada tahun 2014 kurang mendapat sambutan kerana berlakunya banjir besar.

“Kali ini lebih meriah dengan kehadiran lebih 1,000 penduduk, termasuk anak-anak kampung yang pulang dari perantauan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program berkenaan, pada Ahad.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri Belanja yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah Negeri Perak, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria.

Menurut Mohd Nasir antara pengisian program ialah pameran gambar-gambar lama dan bubu serta pertandingan permainan rakyat seperti tagan gundu, baling selipar, boling kelapa, sepak raga ratus dan membuat perangkap burung.

Di samping itu, penduduk kampung bergotong royong sejak pagi menyembelih, menyiang dan memasak dua ekor lembu.

“Disebabkan sambutan yang sangat menggalakkan, ada cadangan supaya program ini diadakan dua tahun sekali, insya Allah kita akan adakan,” ujarnya.

Sementara itu, Drs Nizar berkata, program seumpama itu sangat baik bagi merapatkan hubungan silaturrahim dan semangat kerjasama antara penduduk kampung.

Selain itu, kata beliau, ia juga memberi peluang kepada generasi muda untuk mengetahui sejarah Belanja dan juga permainan warisan datuk nenek mereka.

“Saya lihat ada yang tidak berjumpa tiga empat tahun kerana merantau, inilah masanya mereka balik kampung bertemu sanak saudara dan sahabat handai.

“Saya harap ini akan menjadi contoh, bukan sahaj di negeri Perak, tetapi juga di seluruh negara, dalam usaha merapatkan perpaduan antara kita,” katanya.

Teknologi baru lupus Al-Quran

PERAK kini mempunyai pusat pelupusan al-Quran pertamanya di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM) di Ipoh bagi membolehkan proses pelupusan dijalankan mengikut syariat Islam.

Kebuk atau dinamakan sebagai insinirator yang dibina dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, sudah ditempatkan di pusat berkenaan.

 

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Mohd Nizar Zakaria berkata, pembuatan kebuk menggunakan teknologi terkini itu mampu menjimatkan masa dan kos pelupusan.

 

Katanya, proses pelupusan yang dijalankan sebelum ini menggunakan perkhidmatan syarikat swasta membabitkan kos tinggi sehingga mencecah RM100,000.

“Sebelum ini kita perlu mengumpul jumlah yang banyak dan operasinya mengambil masa lama bermula dari pembakaran sebelum menaiki kapal ke tengah laut untuk pembuangan abu.

“Jadi dengan adanya insinirator ini, masa dan kos dapat dijimatkan apabila proses pelupusan dan pembuangan dilakukan di lokasi sama dan hanya membabitkan kos binaan mesin dalam RM30,000 hingga RM40,000 sahaja.

“Kewujudan pusat ini akan memberi kelegaan dan mengurangkan kegusaran umat Islam di negeri ini untuk melupus al-Quran serta buku agama lama yang ada berkaitan dengan ayat suci,” katanya selepas merasmikan pusat itu di Ipoh, hari ini.

Hadir sama Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin dan Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UiTM Shah Alam, Razali Hassan.

Mohd Nizar berkata, beliau mengharapkan masyarakat dapat memanfaatkan pusat pelupusan itu dengan mengumpul dan menghantar Al-Quran atau buku agama yang rosak untuk dilupuskan dengan kaedah mengikut syariat Islam.

“Umat Islam di negeri ini bolehlah menghantar bahan yang hendak dilupus di pejabat agama di daerah masing-masing atau terus ke lokasi tempat pelupusan di INTIM untuk berjumpa pegawai dan melihat sendiri proses pelupusan dijalankan,” katanya

Menurut Mohd Nizar, pihaknya sudah bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memudahkan kerja pelupusan dijalankan.

Sementara itu, Razali berkata, kebuk yang terdiri daripada dua bahagian itu mampu membuat pembakaran sebanyak 30 kilogram (kg) dalam tempoh satu jam secara berperingkat.

“Kelebihannya, kebuk menggunakan teknologi tinggi menggunakan gas, yang mana ia turut mampu memerangkap abu yang berterbangan untuk dikumpulkan sebelum dialirkan ke sungai,” katanya.

Pusat lupus Quran berteknologi tinggi di INTIM

IPOH: Perak membina pusat pelupusan naskhah al-Quran usang dan rosak yang pertama di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM) di sini bagi memastikan proses pelupusan mematuhi syariat Islam. 

Kebuk atau insenirator yang ditempatkan di INTIM dibina dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Mohd Nizar Zakaria, berkata pembinaan kebuk yang menggunakan teknologi terkini mampu menjimat masa dan kos pelupusan.

Katanya, proses itu sebelum ini yang diserahkan kepada syarikat swasta membabitkan kos tinggi hingga mencecah RM100,000 bagi hanya sekali proses pelupusan.

“Sebelum ini kita perlu mengumpul dalam jumlah yang banyak dan menunggu lama bermula untuk proses pembakaran hinggalah pembuangan abu di laut.

“Jadi, dengan adanya kebuk ini, masa dan kos dapat dijimatkan apabila proses pelupusan dan pembuangan dilakukan di lokasi sama dan hanya membabitkan kos binaan mesin antara RM30,000 hingga RM40,000 sahaja.

“Kewujudan pusat pelupusan ini akan memberi kelegaan dan mengurangkan kegusaran umat Islam di negeri ini untuk melupus al-Quran, buku agama lama yang ada berkaitan dengan ayat suci yang sudah terlalu lusuh atau rosak akibat banjir,” katanya selepas melancarkan pusat pelupusan itu di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin dan Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UiTM Shah Alam, Razali Hassan.

 

Perak Bina Sendiri Pusat Pelupusan Al-Quran

IPOH: Pengalaman sukar untuk melupuskan Al-Quran yang rosak ketika banjir besar tahun 2014 menjadi pencetus idea untuk Perak membina sendiri pusat pelupusan Al-Quran.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah Negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, kebuk (insinirator) pusat pelupusan itu dibina dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UiTM Shah Alam.

Menurut beliau, penggunaan pusat pelupusan sendiri itu juga boleh memberi banyak penjimatan dari segi kewangan, masa dan tenaga.

“Dengan adanya kebuk ini, akan memudahkan umat Islam di negeri Perak untuk melupuskan Al-Quran yang telah rosak, bukannya membuang atau meletakkannya merata-rata,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pusat itu di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM) di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin dan timbalannya, Harith Fadzilah Abdul Halim.

Drs Mohd Nizar berharap umat Islam di negeri ini yang ingin melupuskan Al-Quran yang rosak dan tidak boleh dibaca, dapat mengumpulkannya di masjid-masjid di seluruh negeri, Pejabat Agama Islam Negeri dan Daerah atau menghantar terus ke pusat pelupusan itu di INTIM.

Sementara itu, Mohd Yusop memberitahu, sebelum ini pihaknya membelanjakan kira-kira RM100,000 untuk proses pelupusan yang dilaksanakan oleh syarikat swasta, sebelum dilupuskan di tengah laut.

Menurut beliau, kos pembinaan kebuk itu hanya sekitar RM30,000 dan penyediaaan tapak pula hanya kira-kira RM20,000.

“Kita mendapat kerjasama daripada pihak JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) dan KDN (Kementerian Dalam Negeri), khususnya untuk melupuskan bahan-bahan bercetak Al-Quran yang rosak atau yang tersalah cetak dan sebagainya,” ujarnya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UiTM Shah Alam, Ir Razali Hassan berkata, pembinaan kebuk pusat pelupusan itu menggunakan inovasi terkini untuk melupuskan abu Al-Quran secara terkawal.

Proses pembakaran Al-Quran itu dilaksanakan dengan rapi dan lengkap, tanpa mengeluarkan asap dan abu yang terhasil, dilarutkan terlebih dahulu di dalam air sebelum dilepaskan ke sungai berhampiran.