Ulama, umarak bekerjasama bangunkan ummah – Sultan Nazrin

IPOH – Ulama dan Umara tidak harus disalah tafsir sebagai dua golongan terpisah dengan tanggapan bahawa satu bertanggungjawab kepada urusan agama manakala satu lagi bertanggungjawab kepada urusan negara.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bertitah, Islam tak memisahkan kuasa agama dengan kepimpinan duniawi maka memperkukuhkan betapa pentingnya kedua-dua pihak itu saling membantu serta bekerjasama melaksanakan tanggungjawab kepada ummah.

“Di sisi Allah S.W.T, ulama dan umara mempunyai tugas dan tanggungjawab secara bersama, kerana ilmu dan kuasa merupakan amanah Allah. Ilmu harus digunakan dengan ikhlas dan jujur, tegas lagi berani; kuasa pula diuruskan dengan adil dan saksama, beramanah lagi berintegriti.

“Ulama sumber ilmu, Umara sumber kepimpinan, ilmu dan kepimpinan tidak boleh dipisahkan, begitu juga rangkaian Ulama dan Umara,” titah baginda pada majlis Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, di sini pada Isnin.

Terdahulu, Ketibaan baginda bersama Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim diiringi Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri Datin Seri Saripah Zulkifli serta para pembesar negeri. Turut berangkat Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa.

Titah Sultan Perak lagi, sejarah telah mencatatkan di kalangan para pemimpin Islam yang memiliki nama-nama besar, mereka tidak terpisah dengan bimbingan Ulama dan Imam al-Ghazali juga memperingatkan kerosakan para Umara berlaku kerana kerosakan para Ulama.

“Ulama mempunyai tugas utama melakukan tafaqquh fid diin (memberi pemahaman tentang agama) dan memberikan peringatan kepada masyarakat serta membimbing umat dengan petunjuk-petunjuk ilahiah (ketuhanan).

“Umara adalah satu keperluan di dalam masyarakat kerana tanpa Umara, masyarakat boleh menjadi kacau bilau, dan syariah tidak dapat dilaksanakan,” titah baginda.

Baginda bertitah, Imam Al-Ghazali pernah berkata bahawa adalah menjadi kebiasaan para ulama melakukan amar makruf dan nahi mungkar tanpa mengambil kira kekejaman pemerintah.

“Tetapi sekarang, lidah para ulama telah menjadi kelu kerana diikat oleh kepentingan. Kalaupun mereka bercakap, mereka tidak akan berjaya kerana pembawaan hidup mereka sendiri berbeza dengan apa yang dicakapkan.

“Sesungguhnya rakyat rosak kerana pemerintah, dan pemerintah rosak kerana ulama. Sementara ulama pula rosak kerana tamak harta dan pangkat. Maka sesiapa yang dikuasai oleh kecintaan kepada dunia, dia tidak akan mampu memberi nasihat walaupun kepada orang bawahan, apa lagi kepada pemerintah dan pembesar,” titah baginda memetik kata-kata Imam Al-Ghazali.

Wajib amal berkasih sayang: MB

IPOH – Di sebalik perbezaan fahaman serta ideologi politik semua pihak perlu mengekalkan amalan hidup yang berteraskan kasih sayang dan bersatu padu sebagaimana yang diamalkan dalam Islam.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, amalan sedemikian diyakini mampu menggelakkan insiden-insiden yang tidak diingini seperti pergaduhan sesama sendiri kelak.

“Kita lihat ada pihak berparti-parti duduk atas pentas tiada tajuk lain selain maki hamun, mengaibkan orang dan menfitnah orang, kita cuba bawa balik rapatkan dan kini semakin rapat.

“Dahulu kedua pihak tidak boleh bertegur sapa kini boleh kerana kita bawa mesej Islam iaitu berkasih sayang, jangan bergaduh disebabkan masalah parti kumpulan itu.

“Kita terus usahakan buat kerja ini, setiap orang membawa mesej ini,” katanya ketika berucap pada Karnival Mahabbbah Institusi Agama Islam Negeri Perak di Masjid An-Nur, Batu Lapan Hulu Kinta sempena program Permukiman Menteri Besar Di Daerah Kinta, semalam.

Pada majlis itu juga Zambry turut menyempurnakan majlis pelancaran Aplikasi dan Transformasi Digital Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) bersama KPerak INC Corporation, menyampaikan cek penghargaan kepada 40 guru Kafa yang telah pencen pada 2017 lalu.

Jauhi Politik Pecah Belah – MB

IPOH – Umat Islam di negeri ini khususnya ahli politik diingatkan supaya tidak berpolitik secara melampau sehingga mewujudkan pecah belah serta permusuhan sesama sendiri.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sebaliknya sebagai seorang umat Islam, setiap individu perlu menunjukkan perwatakan serta amalan yang baik kepada khayalak dan tidak membuka aib di antara satu sama lain.

“Kita sering bercakap betapa hebatnya agama Islam, bagaimana sempurnanya agama kita namun bila tiba bab amalan yang perlu dipraktikkan…habis.

“Jangan kita naik pentas di khayalak ramai guna perkataan-perkataan tidak elok, fitnah orang itu fitnah orang ini..malu kalau orang lain tengok kita bersikap begini sesama kita,” katanya.

Beliau berucap demikian dalam karnival marhabah sempena Pemukiman Menteri Besar Daerah Kinta di pekarangan masjid An-Nur, Batu 8, di sini pada Jumaat.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Mohd Nizar Zakaria, ADUN Hulu Kinta Datuk Aminuddin Md Hanafiah dan ADUN Manjoi Mohamad Ziad Mohamed Zainal Abidin.

Tambah Dr Zambry, sikap “hentam-menghentam” di antara satu sama lain secara terbuka hanya akan merugikan kedua-dua belah pihak malah memburukkan lagi imej Islam.

“Kita perlu bawa mesej Islam yang sebenar iaitu berkasih sayang, jangan bergaduh sesama kita..Melayu ini lembut sifatnya, guna kesempatan itu untuk kita semua bersama.

“Selama 9 tahun menjadi Menteri Besar inilah yang saya sering memberi penekanan, jangan politik berlebihan..Alhamdulillah ketika ini semuanya semakin rapat, saya harap ia akan berterusan dan lebih rapat,” ujarnya.

Sementara itu, dalam majlis sama Menteri Besar mengumumkan program hamam yang diwujudkan bagi memastikan tandas surau dan masjid seluruh Perak sentiasa dalam keadaan bersih telah membuahkan hasil.

Jelas beliau, sejak ia diperkenalkan dan dipantau oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), ia telah menunjukkan perubahan yang amat positif.

“Berkat daripada apa yang kita laksanakan selama ini, tinjauan demi tinjauan daripada langsung tidak mempunyai bintang kini Ianya telah menerima penarafan bintang.

“Ketika ini sebanyak 498 masjid seluruh Perak telah menerima penarafan tiga bintang dan ke atas dengan 38 daripadanya adalah lima bintang,” jelas beliau.

Dua Sekolah Menengah Tahfiz Negeri Muncul Terbaik I’dadi dan Thanawi 2017

CHEMOR: Dua sekolah menengah tahfiz yang ditubuhkan kerajaan negeri Perak muncul sekolah terbaik dalam peperiksaan I’dadi dan Thanawi tahun 2017.

Sekolah-sekolah itu ialah Sekolah Menengah Agama Darul Ridzuan (SMTDR) Daerah Manjung (terbaik I’dadi) dan SMTDR Daerah Batang Batang (terbaik Thanawi).

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah Negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria bagaimanapun berkata, secara keseluruhan, keputusan kedua-dua peperiksaan itu merosot, berbanding keputusan tahun 2016.

Menurut beliau, pencapaian I’dadi menunjukkan penurunan 1.18 peratus kepada 2.47 mata, berbanding 2.41 mata tahun sebelumnya.

“Pencapaian peperiksaan Thanawi tahun lalu pula mencatakan penurunan sebanyak 7.29 peratus, iaitu 2.77 mata, berbanding 2.41 mata pada tahun 2016,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan keputusan peperiksaan I’dadi dan Thanawi sekolah-sekolah agama di negeri Perak di SABK Maahad Al-Ummah, Chemor dekat sini, sempena program Permukiman Menteri Besar di Daerah Kinta mulai hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan JAIPk, Mohamad Nasar Kurdi.

Drs Nizar turut mengumumkan

Nur Hidayati Munirah Jamnul Aziz dari Sekolah Menengah Raja Perempuan Taayah Ipoh muncul pelajar terbaik I’dadi manakal Anis Nabila Sakinah Nazri dari Sekolah Menengah Raja Dr Nazrin Shah Kampung Gajah muncul pelajar terbaik Thanawi.

Beliau memberitahu, seramai 1,032 calon menduduki peperiksaan I’dadi tahun lalu manakala calon Thanawi ialah 2,303 orang.

Menurutnya, 239 calon I’dadi memperolehi pangkat mumtaz (cemerlang), 296 jayyid jiddan (amat baik), 281 jayyid (baik), 112 maqbul (lulus) dan 67 calon rasid (gagal).

Beliau menambah, 301 calon Thanawi memperolehi pangkat mumtaz, 721 jayyid jiddan, 698 jayyid, 273 maqbul dan 270 rasid.

1MDB TERUS TAJA JEMAAH HAJI

DISEBALIK penentangan dan fitnah yang bertubi-tubi dari Tun Dr Mahathir Mohamad, pengurusan syarikat 1MDB tidak patah semangat untuk terus menaja ribuan umat Islam bagi mengerjakan ibadah Rukun Islam kelima itu di Tanah Suci.

Pada 2 Februari 2018, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak telah hadir bagi menyerahkan sendiri surat tawaran fardhu haji keapda mereka yang layak dan terpilih bagi mengikuti ibadah tersebut pada tahun ini.

Seramai 1,200 peserta yang terdiri daripada pemimpin agama dan masyarakat akar umbi telah menerima surat tawaran berkenaan dari tangan Perdana Menteri sendiri.

Bakal jemaah haji yang terpilih itu terdiri daripada kalangan imam masjid dan surau, ketua kampung serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kese­lamatan Kampung (JKKK) dari seluruh negara.

Sejak mula dilaksanakan pada tahun 2011, program yang sudah pun memasuki tahun kelapan penganjurannya itu telah berjaya menghantar seramai 5,711 orang peserta untuk menunaikan ibadah haji buat kali pertama.

Menurut Perdana Menteri, Malaysia mampu menghantar jemaah haji dalam jumlah ramai saban tahun kerana ada hubungan baik dengan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud serta pihak kerajaan Arab Saudi.

Penganjuran program berkenaan yang memasuki tahun kelapan ini membuktikan bahawa kritikan yang dibuat oleh Pengerusi Pakatan Harapan itu adalah tidak tepat dan tidak lebih sekadar propaganda bagi menimbulkan kebencian rakyat terhadap pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Semoga usaha murni Perdana Menteri ini akan dibalas kembali dengan kejayaan besar ketika Barisan Nasional menghadapi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) tidak lama lagi. –TV14

 

 

SPeAK,Panduan Pengurusan Wang Tabung Masjid Bakal Diperkenalkan Elak ‘Wang Beku’

IPOH:Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), bakal memperkenalkan satu sistem perakaunan atas talian “Sistem Pengurusan e-Akaun Masjid (SPeAK)” sebagai satu panduan khas pengurusan kewangan kutipan sumbangan wang masjid.

Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin berkata panduan yang kini berada di tahap akhir penyediaannya akan menerangkan tentang cara pengurusan kewangan daripada tabung masjid berikutan timbul ketidakfahaman yang jelas mengenai saluran wang berkenaan.

“Melalui panduan ini kita akan menyusun semula pengurusan kewangan dengan lebih terperinci terutama berkaitan dengan kutipan Tabung Masjid pada hari Jumaat kerana terdapat sesetengah masjid berlakunya salah daripada segi hukum, kefahaman tidak jelas dan prosedur yang khusus mengenainya,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Executive Talk dan Perutusan Tahun Baru 2018 bagi Jabatan JAIPk di INTIM hari ini.

Terdahulu majlis telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah,Datuk Mohd Nizar Zakaria dan menyampaikan ucapan Perutusan Tahun Baru 2018 kepada semua kakitangan JAIPk dan turut dilancarkan buku panduan pengurusan majlis dan acara pada majlis tersebut.

Turut berlangsung majlis menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) JAIPk yang disaksikan oleh Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perak Datuk Zainul Darus.

Mengulas lanjut, jelas Yusop menerusi kajian yang dijalankan oleh Universiti Sultan Idris (UPSI) hampir belasan juta duit sumbangan masjid beku malah puluhan ribu hanya disimpan begitu sahaja seolah wujud pertandingan pengumpulan wang paling banyak tetapi tidak digunakan.

“Duit sumbangan pada hari Jumaat adalah jariah orang awam sumbangan sedekah yang tak pernah penyumbang bertanya dan memikirkan kepada mana duit itu disalurkan dan siapa yang bersedekah utuk kegunaan masjid.

“Di Malaysia orang murah hati suka bersedekah, yang menerima sedekah pula kemana ia digunakan jadi panduan ini akan membantu dan kini pada peringkat akhir sebelum dibentangkan kepada jawatankuasa Fatwa” katanya.

Katanya wang sumbangan itu kemungkinan tidak digunakan apabila setiap masjid telah menerima bantuan kewangan daripada pihak Kerajaan.

“Kerajaan bantu memberikan wang membaiki masjid ada juga yang sudi membantu jadi tidak sepatutnya timbul rasa kerisauan orang yang enggan membantu.

“Kebanyakan wang sumbangan diagihkan untuk membayar penceramah, bil eletrik, air, elaun imam, namun masih berbaki jumlah kutipan namun saya tidak mahu mengatakan ada penyalahgunaan kerana kadang kala pembelian tidak mempunyai resit sebagainya,” katanya.

Jelasnya, cara pengurusan kewangan bergantung kepada kebijaksanaan jawatankuasa beserta laporan dalam mesyuarat yang diadakan empat kali setahun yang perlu diberi penekanan.

“Kita tidak boleh menyalahkan jawatankuasa masjid kerana kebanyakan mereka bukan sepenuh masa tetapi diamanahkan bagi menguruskan namun usaha mengatasi perlu kerana mungkin ada tanggapan dan tomahan masyarakat mengenai saluran wang itu, bukan senang nak menjaga rumah Allah,mereka diberi peluang menguruskan rumah Allah pastinya ada kesilapan, kecuaian yang tidak disengajakan,”katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Perak, Datuk Zainul Darus berkata langkah yang diambil pihak JAIPk sangat dialu-alukan oleh pihak SPRM.

“Ia adalah satu langkah yang amat baik dan Perak satu-satunya negeri yang akan memperkenalkan garis panduan ini,” katanya.

Bagaimanapun katanya SPRM sukar untuk melakukan siasatan dan tidak boleh ambil tindakan kepada pegawai masjid kerana kerjanya sukarela dilantik secara sukarela.

“Malah kebanyakan mereka tidak mempunyai ilmu berkaitan dengan kewangan, cara untuk menggunakan duit itu hanya bergantung kepada pengalaman masing-masing,” katanya.

Jelasnya tidak nafikan SPRM turut menerima maklumat mengenai isu penyelewengan wang masjid kerana wujudkan rasa tidak puas hati melibatkan pihak tertentu yang mempertikaikan saluran wang tersebut.

“Susah untuk buktikan terutama kutipan sumbangan hari Jumaat bergantung kepada orang yang bertanggungjawab membuat pengiraan malah melalui pengalaman di luar dari Perak pengalaman yang lepas ada setengah kes hanya sebahagian wang yang dimasukkan dalam akaun selebihnya kita tidak ketahui,” katanya.

IBR Kedua Bukti JAIPk Serius Tangani Isu Rasuah

IPOH: Selepas ikrar bebas rasuah (IBR) di kalangan pengurusan masjid di seluruh negeri, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) mengadakan pula IBR untuk kakitangannya sendiri.

Ia sekaligus membuktikan jabatan itu serius menyahut seruan kerajaan di dalam menangani rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan.

IBR kedua itu diadakan sempena program Eksekutif Talk dan Perutusan Tahun Baru 2018 JAIPk serta Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM) di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah Negeri Perak, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria, Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Perak, Datuk Zainul Darus dan Timbalan Pengarah JAIPk, Harith Fadzilah Abdul Halim.

Drs Nizar di dalam ucapannya menggariskan empat perkara yang perlu menjadi pegangan dan amalan kakitangan JAIPk untuk terus memacu kecemerlangan jabatan itu.

Menurut beliau, empat perkara itu ialah komitmen, kebersamaan, komunikasi dan keutamaan.

“Sekiranya empat perkara ini ada di kalangan penjawat awam, insya Allah organisasi kita akan terus mencapai kejayaan dan kecemerlangan,” kata beliau.

Beliau turut mengingatkan penjawat awam supaya menjaga kerahsiaan kerana jika tidak, ia boleh merosakkan jabatan dan organisasi yang menjadi tempat mereka mencari rezeki.