IPOH – Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) melalui kajian Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengesan berlakunya pembekuan wang masjid di seluruh negeri ini melibatkan jumlah keseluruhan hampir RM8 juta.
Pengarahnya, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, kajian bertajuk Eksplorasi Dana Kewangan Masjid di Negeri Perak yang dijalankan pada 2012 lalu itu mendapati, terdapat RM7.8 juta hasil simpanan bank milik 668 masjid, tidak digunakan.
Menurutnya, keadaan itu berkemungkinan berlaku akibat salah faham dan kekeliruan kalangan jawatankuasa masjid sendiri dalam pengurusan kewangan termasuk yang diterima melalui derma orang ramai dan tabung Jumaat.
“Ada antara mereka menyangkakan wang derma ini untuk kegunaan urusan imarah masjid sahaja seperti bayaran penceramah, bil elektrik serta air, sedangkan boleh digunakan atas perkara-perkara lain. Jika ia melibatkan RM2,000 hingga RM3,000 tidak mengapa kerana ia mungkin disimpan untuk kerja-kerja penyelenggaraan, tetapi ini mencecah jutaan ringgit.
“Hal ini tidak sepatutnya berlaku dan kita di Jaipk sedang berusaha mewujudkan garis panduan agar setiap jawatankuasa mempunyai satu cara khusus bagaimana nak gunakan wang tabung masjid masing-masing,” katanya kepada pemberita sempena Majlis Executive Talk dan Perutusan Tahun Baharu 2018 di Dewan Saidina Abu Bakar, Institut Tadbiran Islam Perak (Intim), hari ini.
Beliau berkata, garis panduan yang bakal diperkenalkan itu merupakan lanjutan Sistem Pengurusan E-Akaun Masjid (SPeAK) yang dilancarkan Jaipk, Ogos tahun lalu dengan kerjasama KPerak.
Katanya, penetapan garis panduan itu telah memasuki peringkat akhir dan akan digunapakai pada suku pertama tahun ini sebaik diluluskan Jawatankuasa Fatwa.
“Pengenalan garis panduan ini nanti dapat mengelak sebarang tanggapan atau tohaman pihak lain yang mungkin mempersoalkan kemana sebenarnya duit masjid ini dibelanjakan,” katanya.
Dalam majlis itu, turut berlangsung majlis menandatangani ikrar bebas rasuah bersama Pengarah SPRM Perak, Datuk Zainul Darus disaksikan Exco Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Nizar Zakaria.