PARIT: Program Sue Mesre 2.0 Qariah Blanje di Kampung Tanjung Belanja Kiri dekat sini, hari ini mengembalikan semula nostalgia penduduk kampung ketika zaman 30 dan 40 tahun lalu.
Selain itu, ia turut merapatkan silaturrahim dan semangat kerjasama penduduk empat buah kampung di dalam mukim Belanja, yang dari segi asal-usulnya mempunyai kaitan persaudaraan.
Empat kampung itu ialah Kampung Tanjung Belanja Kiri, Kampung Tua, Kampung Sadang dan Kampung Changkat Banjar.
Pengerusi program, Mohd Nasir Yop Ahmad berkata, program itu adalah yang kedua tetapi kali pertama pada tahun 2014 kurang mendapat sambutan kerana berlakunya banjir besar.
“Kali ini lebih meriah dengan kehadiran lebih 1,000 penduduk, termasuk anak-anak kampung yang pulang dari perantauan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program berkenaan, pada Ahad.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri Belanja yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah Negeri Perak, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria.
Menurut Mohd Nasir antara pengisian program ialah pameran gambar-gambar lama dan bubu serta pertandingan permainan rakyat seperti tagan gundu, baling selipar, boling kelapa, sepak raga ratus dan membuat perangkap burung.
Di samping itu, penduduk kampung bergotong royong sejak pagi menyembelih, menyiang dan memasak dua ekor lembu.
“Disebabkan sambutan yang sangat menggalakkan, ada cadangan supaya program ini diadakan dua tahun sekali, insya Allah kita akan adakan,” ujarnya.
Sementara itu, Drs Nizar berkata, program seumpama itu sangat baik bagi merapatkan hubungan silaturrahim dan semangat kerjasama antara penduduk kampung.
Selain itu, kata beliau, ia juga memberi peluang kepada generasi muda untuk mengetahui sejarah Belanja dan juga permainan warisan datuk nenek mereka.
“Saya lihat ada yang tidak berjumpa tiga empat tahun kerana merantau, inilah masanya mereka balik kampung bertemu sanak saudara dan sahabat handai.
“Saya harap ini akan menjadi contoh, bukan sahaj di negeri Perak, tetapi juga di seluruh negara, dalam usaha merapatkan perpaduan antara kita,” katanya.