JAIPk Laksana Inisiatif Pelupusan Al-Quran Teknologi Terkini, Pertama Di Perak

IPOH: Demi memudahkan urusan pelupusan kitab suci atau mana-mana bahan cetakan yang mengandungi ayat-ayat Al-Quran yang telah uzur, Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah membangunkan sebuah mesin insinerator, yang pertama seumpamanya di Perak, khusus bagi melakukan kerja-kerja tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, dengan adanya mesin berkenaan, ia bakal memudahkan urusan umat Islam di negeri melibatkan melupuskan bahan-bahan berkenaan yang mungkin tidak dapat diguna pakai, akibat daripada banjir, keadaan fizikal yang telah rosak, tersalah cetak dan sebagainya

Ujarnya, orang ramai boleh mengumpulkan bahan yang telah rosak seperti di masjid-masjid daerah, pejabat jabatan agama daerah ataupun boleh  ke pusat pelupusan ini yang terletak di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM), dekat sini.

Tambah Nizar, dengan kewujudkan insinerator ini ia bakal menjimatkan kos dan masa bagi melupuskan bahan berkenaan.

“Sebelum ini prosesnya memakan masa yang panjang dan kos yang banyak di mana ia akan dikumpulkan di beberapa lokasi tertentu, sebelum dibakar oleh pihak vendor yang bertanggungjawab.

“Selepas pembakaran selesai, kita terpaksa membawa abu ke tengah laut dengan menggunakan kapal,” jelasnya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Kebuk Pelupusan Al-Quran, di INTIM, dekat sini, pada Selasa.

Selain itu, Pengarah JAIPk Datuk Mohd Yusop Husin yang ditemui berkata, proses tersebut juga boleh mencecah sekitar RM100,000 untuk satu-satu masa.

Jelasnya, berbanding dengan penggunaan insinerator ini, ia hanya melibatkan kos gas dan upah kerja lebih masa bagi kakitangan bertanggungjawab, yang mana ia jauh lebih menjimatkan.

Pada perkembangan sama, Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UiTM Shah Alam, Ir Razali Hassan berkata ini merupakan projek sulung usahasama dengan JAIPk, selepas Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), yang mana ia juga bakal dipatenkan dalam masa terdekat.

“Mesin ini menggunakan teknologi terkini di mana abunya akan terperangkap di dalam air dan seterusnya ia akan terus dialirkan, melalui saluran yang bersambung dengan mesin, ke Sungai Pinji,” katanya yang juga merupakan ketua projek bagi pembinaan insinerator ini.

 

Hentikan Perbuatan Calarkan Nama Baik Islam – Sultan Perak

POH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, perbuatan mencalar kesucian dan nama baik Islam mesti dihentikan dan dibanteras secara tegas.

Titah baginda, Malaysia adalah sebuah negara yang harum namanya lagi dihormati di kalangan negara-negara Islam dan bukan Islam kerana amalan kesederhanaan beragama.

Bagaimanapun, baginda bertitah, kesucian dan nama baik Islam semakin dicalarkan di negara ini oleh perbuatan individu dan pendirian institusi tertentu yang membenarkan para petugas melakukan pelbagai tindakan atas tujuan mahu menguatkuasakan peraturan untuk melindungi Islam.

“Kata-kata penghinaan yang diungkapkan dan tindakan-tindakan berunsur dendam, ugutan, tangkapan, tahanan dengan kaedah soal siasat yang mengandungi elemen-elemen seksaan dan deraan, telah memberi imej tersangat negatif terhadap cara Islam diamalkan di negara ini,” titah baginda ketika merasmikan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak di sini, hari ini.

Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin.

Sultan Nazrin bertitah, Allah SWT tdak sama sekali menurunkan sebarang kuasa kepada sesiapapun untuk menghukum seseorang itu sebagai ahli syurga atau ahli neraka.

Titah baginda, Islam juga tidak mengizinkan perbuatan memulau mana-mana kumpulan atau memutuskan silaturahim dengan mana-mana individu, hingga ke tahap penghinaan tidak mahu menguruskan jenazah seseorang individu yang telah meninggal dunia, hanya berpunca daripada perselisihan tafsiran dan pandangan.

“Perbuatan-perbuatan sedemikian adalah perbuatan melampau dan keterlaluan yang sangat bercanggah dengan sifat-sifat mulia yang dipamerkan oleh Rasulullah SAW.

“Islam menganjurkan kesederhanaan.  Oleh itu majoriti umat yang berpegang kepada amalan kesederhanaan, wajib bangun bersuara, dan suara majoriti ini jangan sama sekali merelakan untuk ditenggelami oleh kumpulan ekstrem yang minoriti.

“Umat hendaklah mengembalikan azam dan tekad untuk mendekatkan ummah dengan Allah SWT, menjadikan Islam pakaian luaran dan pegangan dalaman, melalui pendekatan dakwah secara berhikmah, melalui pengajaran baik secara contoh – secara teladan, serta melalui perdebatan yang tertib, sopan lagi beradab, ” titah baginda.

Pada majlis itu, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan Anugerah Imam kepada Bahari Ahmad; Anugerah Muazzin (Husain Lebai Ismail); Anugerah Siak (Saad Brahim) dan Anugerah Pendakwah (Muhd Nassir Thanabalan Abdullah).

Masing-masing membawa pulang wang tunai RM3,000 berserta plak, sijil dan hadiah iringan.

Baginda turut menyampaikan Anugerah Keluarga Mithali kepada Ismail Abdullah yang menerima wang tunai RM5,000, sijil, plak dan hadiah iringan.

Kelas KAFA Tulen Di Tiga Sekolah Orang Asli

IPOH: Kerajaan negeri melalui Jabatan Agama Islam Perak dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri telah berjaya melaksanakan pendidikan agama Islam Kelas KAFA Tulen di tiga buah sekolah Orang Asli.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, sekolah-sekolah itu ialah di Pos Bersih, Daerah Muallim dan Pos Kemar serta Pos Banun, kedua-duanya di Daerah Gerik.

Di samping itu, kata beliau, bagi memperkasakan lagi pendidikan Orang Asli yang beragama Islam, kelas-kelas fardhu ain dilaksanakan secara berjadual dua kali seminggu di kawasan pedalaman kampung Orang Asli.

“Kerajaan sedar dan mengakui bahawa penyampaian ajaran Islam yang lebih berkesan adalah dari kalangan Orang Asli sendiri seterusnya dapat memahami ajaran Islam yang sebenar dengan memberi penekanan kepada pendidikan akidah, ibadah dan akhlak secara berterusan,” katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Mohd Zolkafly Harun (BN-Lintang) di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Drs Nizar memberitahu, Sekolah Menengah Agama Rakyat Nurul Hidayah Kampung Orangsli Kenang, Jalong Tinggi merupakan salah satu contoh langkah yang telah diambil oleh kerajaan negeri bagi menyediakan pendidikan arus perdana di samping pendidikan Islam.

Menurutnya, jumlah keseluruhan anak Orang Asli yang mendapat pendidikan arus perdana dan pendidikan Islam ialah 339 orang.

Selain itu, kata beliau, kursus intensif imam dan bilal telah dilaksanakan di Pusat Kegiatan Dakwah Ipoh, khusus untuk belia Orang Asli yang datang dari perkampungan masyarakat tersebut di seluruh negeri.

“Seramai 250 orang belia Orang Asli telah dilatih untuk menjadi imam dan bilal dalam kursus yang merangkumi latihan secara praktikal bacaan solat, terutamanya bacaan Al-Quran di samping menghafaz,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, bagi memperkasakan penghayatan Islam di kalangan masyarakat berkenaan, kerajaan negeri telah menaiktaraf 10 surau diri Jumaat dan sebuah masjid di Kampung Orang Asli Bawong.

Menjawab soalan tambahan wakil yang sama, beliau berkata, tidak kurang 42 kelas fardhu ain telah dijalankan di perkampungan Orang Asli yang diadakan sebanyak dua kali seminggu.

Elaun Bulanan Guru Agama Naik 10 Peratus

IPOH: Elaun bulanan guru-guru I’dadi, Thanawi dan tadika Islam kerajaan negeri dinaikkan 10 peratus kepada RM1,100 mulai tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, mereka juga menikmati bantuan khas kewangan RM2,000 di samping imam, bilal, siak, guru KAFA dan guru takmir.

Menurut beliau, selaras dengan dasar kerajaan negeri yang sentiasa mengambil berat kebajikan warga pendidik dalam pendidikan Islam, sejumlah RM7.5 juta sebagai tambahan elaun guru 3,150 guru KAFA.

Di samping itu, bagi menghargai sumbangan 3,112 bilal dan siak di seluruh negeri, kerajaan juga memperuntukan RM11.2 juta, tambahan RM1.6 juta dibayar kepada mereka.

“Keseluruhan Bajet 2018 bagi perbelanjaan pengurusan di bawah portfolio agama Islam, pendidikan Islam dan pembangunan sahsiah berjumlah RM97.9 juta,” katanya ketika menggulung perbahasan di sidang Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Beliau memberitahu, dakwaan kononnya kerajaan mengepikan kepentingan pendidikan agama dengan mengurangkan peruntukan sekolah menengah agama negeri (SMAN) adalah tidak benar.

Jelasnya, penurunan peruntukan di ketiga-tiga sekolah itu sebenarnya berpunca dari penyelarasan semula peruntukan perkhidmatan ikhtisas yang kini dipusatkan di bawah Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

“Ini dapat dilihat dengan peningkatan lebih RM697,000 peruntukan tersebut di bahagian pendidikan,.

“Langkah ini diambil untuk mengoptimumkan manfaat yang boleh diperolehi dengan mengadakan program-program berpusat untuk sekolah-sekolah di bawah kawalan bahagian pendidikan,” tambahnya.

Dalam pada itu, Drs Nizar memberitahu, tahun ini juga, JAIPk turut dianugerahkan penarafan lima bintang pengurusan kewangan Jabatan Audit Negara.

Menurutnya, dengan penarafan itu membuktikan bahawa JAIPk telah berjaya mewujudkan budaya kerja berasaskan amalan terbaik.

Katanya, kerajaan negeri melalui semua agensi agama sentiasa berusaha untuk mengambil tindakan terhadap isu-isu yang berkaitan dengan agama di negeri ini.

Beliau memberitahu, JAIPk mempunyai tujuh bahagian iaitu bahagian khidmat pengurusan, pembangunan keluarga, dakwah, pendidikan, penguatkuasaan undang-undang, pengurusan masjid dan surau serta bahagian penyelidikan.

“Selain itu, Jabatan Mufti dan Mahkamah Syariah berfungsi mengendalikan urusan agama di negeri ini mencakupi isu perundangan, pendidikan, dakwah, fatwa serta penguatkuasaan,” tambahnya.

Fourteen tahfiz schools in Perak not registered

IPOH, Nov 21 — Fourteen of the state’s 102 tahfiz schools, where Quran memorisation are taught, are not registered with the state’s religious department, the state legislative assembly was told today.

State Islamic Religious Affairs, Islamic Education and Personality Development Committee chairman Datuk Mohd Nizar Zakaria said of the total, 24 of them are in the process of being registered.

“The majority of the state’s tahfiz schools are privately run and only five are operated by the state,” said the Barisan Nasional’s Belanja assemblyman.

Replying to an oral question from Abdul Yunus Jamhari (PKR — Kuala Kurau), Nizar said the state had organised several meetings with operators of tahfiz schools since August.

“Among them a briefing on safety and fire procedure on August 14 and management course for tahfiz schools held between November 6 and 9,” he added.

He also told Abdul Yunus that the state has yet to take actions against operators of tahfiz schools that fail to follow the safety procedures.

“We will give them opportunities by helping them and giving them advice so that they follow the safety regulations set,” he added.

He said the schools will only be closed down after the school management refused to follow safety regulations set by the authorities.

To a supplementary question from Datuk Siti Salmah Mat Jusak (BN – Lubuk Merbau), Nizar said any tahfiz schools that are more than one-storey high needed to have two escape routes.

“The material used to construct the building should not be highly flammable,” he said.

Tahfiz schools, he added, should also be equipped with ample fire safety equipment which include fire extinguishers, alarms and fire hydrants.

 

64 Buah Sekolah Tahfiz Berdaftar Di Perak

IPOH: Setakat ini terdapat 64 daripada 102 buah sekolah tahfiz di negeri Perak telah berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, 24 masih dalam proses pendaftaran dan 14 masih belum berbuat demikian.

Menurut beliau, daripada 64 yang telah berdaftar, lima adalah Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan (SMTDR) dan 59 buah lagi diusahakan oleh swasta.

“Kerajaan negeri melalui JAIPk telah bekerjasama dengan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri mengadakan pemeriksaan terhadap premis sekolah tahfiz di bawah kerajaan negeri mahupun swasta,” katanya ketika menjawab soalan lisan Abdul Yunus Jamari (PKR-Kuala Kurau) di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Drs Nizar berkata, setakat ini kerajaan negeri masih belum mengambil apa-apa tindakan kepada pengusaha pusat tahfiz swasta dan institusi pondok yang tidak mematuhi tahap keselamatan yang ditetapkan.

Sebaliknya, kata beliau, kerajaan negeri masih memberi peluang kepada mereka dengan membantu dan memberi khidmat nasihat agar mereka mematuhi peraturan keselamatan yang telah ditetapkan.

Beliau menambah, sekiranya pihak pengusaha pusat tahfiz dan pondok berdaftar masih lagi berdegil setelah segala khidmat nasihat diberi, bantuan baik pulih disalurkan, maka ketika itu, atas dasar keselamatan dan kebajikan, barulah sekolah itu diarah menghentikan operasinya mengikut pekeliling yang dikeluarkan.

Pantauan, Khidmat Nasihat Keselamatan Diberi Pada Pusat Tahfiz

IPOH:Kerajaan negeri masih belum mengambil apa-apa tindakan kepada penguasaha Pusat Tahfiz swasta dan Institusi Pondok yang tidak mematuhi tahap keselamatan yang ditetapkan dan masih memberikan khidmat nasihat agar mereka mematuhi peraturan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah,Datuk Mohd Nizar Zakaria berkata kerajaan Negeri telah mengambil pendekatan segera bagi memastikan tahap keselamatan di sekolah Pusat Tahfiz dan Sekolah Pondok di negeri ini sentiasa dipatuhi melalui kerjasama Jabatan Agama Islam Perak dengan pihak Jabatan Bomba Dan Penyelamat Negeri Perak.

Malah katanya sekiranya pihak pengurusan pusat Tahfiz masih berdegil dan enggan mematuhi peraturan ditetapkan sekolah tesebut akan diarahkan menghentikan operasinya mengikut pekeliling yang dikeluarkan.

Katanya pemeriksaan terhadap premis sekolah tahfiz dibawah kerajaan Negeri mahupun premis pendidikan tahfiz swasta telah dijalankan malah satu laporan bertulis hasil pemeriksaan telah diserahkan kepada pihak jabatan agama untuk diambil tindakan.

“Kerajaan Negeri melalui Jabatan Agama Islam Perak telah menganjurkan beberapa pertemuan antara pihak Bomba dan juga pihak pengurusan tahfiz di negeri ini berkaitan dengan program ‘Taklimat Berkenaan Prosedur Keselamatan Dan Kebakaran’ yang telah disampaikan oleh pegawai pasukan Bomba pada 14 Ogos lalu.

“Turut dianjurkan ‘kursus pengurusan Sekolah Tahfiz Dan Pondok’ pada 6 November sehingga 9 November 2017,” katanya menjawab soalan lisan oleh Adun Kuala Kurau Abdul Yunus Jamahri pada sesi mesyuarat ketiga penggal kelima dewan Undangan Negeri hari ini.

Terdahulu katanya sejumlah 102 buah Sekolah Tahfiz yang terdapat di Negeri Perak melibatkan sekolah yang berdaftar dibawah Jabatan Agama Islam Perak ialah sebanyak 64 buah sekolah 24 buah masih di dalam proses pendaftaran, 14 buah masih tidak berdaftar.

Terdapat lima buah sekolah adalah daripada sekolah kerajaan negeri (SMTDR) dan baki 59 buah sekolah adalah daripada sekolah tahfiz swasta manakala institusi pondok pula berjumlah 13 belum berdaftar.

Katanya, pihak Jabatan Agama Islam Perak melalui unit Naziran juga telah memantau dan melawat ke sekolah-skolah tahfiz yang didapati bermasalah dan memberikan khidmat nasihat serta timbul cadangan bagi mengatasi segala permasalahan yang timbul.