IPOH: Perak membina pusat pelupusan naskhah al-Quran usang dan rosak yang pertama di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM) di sini bagi memastikan proses pelupusan mematuhi syariat Islam.
Kebuk atau insenirator yang ditempatkan di INTIM dibina dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Mohd Nizar Zakaria, berkata pembinaan kebuk yang menggunakan teknologi terkini mampu menjimat masa dan kos pelupusan.
Katanya, proses itu sebelum ini yang diserahkan kepada syarikat swasta membabitkan kos tinggi hingga mencecah RM100,000 bagi hanya sekali proses pelupusan.
“Sebelum ini kita perlu mengumpul dalam jumlah yang banyak dan menunggu lama bermula untuk proses pembakaran hinggalah pembuangan abu di laut.
“Jadi, dengan adanya kebuk ini, masa dan kos dapat dijimatkan apabila proses pelupusan dan pembuangan dilakukan di lokasi sama dan hanya membabitkan kos binaan mesin antara RM30,000 hingga RM40,000 sahaja.
“Kewujudan pusat pelupusan ini akan memberi kelegaan dan mengurangkan kegusaran umat Islam di negeri ini untuk melupus al-Quran, buku agama lama yang ada berkaitan dengan ayat suci yang sudah terlalu lusuh atau rosak akibat banjir,” katanya selepas melancarkan pusat pelupusan itu di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin dan Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UiTM Shah Alam, Razali Hassan.