Sultan Perak rasmi Kompleks MDPT

SERI ISKANDAR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Kompleks Pentadbiran Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) yang baharu di sini, hari ini.

Baginda turut melawat pameran mengenai kompleks itu serta menandatangani plak sebagai simbolik perasmian.

Kompleks itu yang dibangunkan dengan kos RM9.4 juta pada penghujung 2010, siap sepenuhnya pada Oktober 2013.

Turut berangkat ke majlis berkenaan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa serta Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Turut mengiringi baginda, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri Datin Seri Saripah Zulkifli serta Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Mohd Nizar Zakaria.

MDPT yang ditubuhkan pada 1 Disember 1979 terletak di Pekan Parit di sini sebelum berpindah ke Kompleks Pentadbiran Daerah Perak Tengah di sini, pada 23 September 1993.

MDPT kemudian membina bangunan sendiri selepas hampir 20 tahun beroperasi di kompleks lama dan berpindah ke kompleks baharu pada 21 Oktober 2013 dengan jumlah kakitangannya kini seramai 115 orang.

Sultan Perak Rasmi Kompleks Majlis Daerah Perak Tengah

SERI ISKANDAR — Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menyempurnakan perasmian Kompleks Pentadbiran Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) yang baharu bernilai RM9.4 juta di sini, hari ini.
Pembinaan kompleks baharu bercirikan teknologi hijau itu melibatkan kos RM9.4 juta yang mana RM5 juta daripadanya adalah pinjaman daripada kerajaan negeri.

Bangunan dua tingkat itu menyediakan dewan mesyuarat yang boleh memuatkan 40 orang, surau, galeri, bilik mesyuarat dan perbincangan serta kaunter utama dan kaunter pandu lalu.

Kompleks itu menempatkan enam jabatan iaitu Jabatan Khidmat Pengurusan, Perbendaharaan, Penilaian dan Pengurusan Harta, Kesihatan dan Perkhidmatan Perbandaran, Perancangan Pembangunan serta tiga unit iaitu Unit Pusat Setempat, Perhubungan Awam dan Undang-Undang.

Turut berangkat ke majlis tersebut ialah Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa serta Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri Datin Seri Saripah Zulkifli serta Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri Datuk Dr Nizar Zakaria.

Sementara itu, Nizar ketika berucap berkata MDPT boleh mengubah pendekatan dalam pengurusan pelanggan seiring dengan ledakan teknologi maklumat, berupaya menjadi pemangkin kepada pembangunan lestari serta memainkan peranan eko-sosial dengan melibatkan masyarakat dalam setiap perancangan pembangunan yang memenuhi harapan dan cita-cita penduduk di tempat ini.

“MDPT sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan perbandaran yang berkualiti, berdaya saing dan dinamik kepada penduduk setempat. Seluruh warga MDPT berharap dengan peningkatan hasil yang berterusan selaras dengan pembangunan yang kian. rancak, MDPT akan menjadi sebuah majlis perbandaran pada masa akan datang.

“Sebuah bandar yang dirancang dengan baik dan sempurna mampu memberi refleksi kepada tiga hubungan, manusia dengan pencipta, manusia dengan manusia dan manusia dengan alam sekitar,” katanya.

MDPT yang ditubuhkan pada 1 Dis 1979 terletak di Pekan Parit, sebelum berpindah ke Kompleks Pentadbiran Daerah Perak Tengah di sini, pada 23 Sept 1993.

Setelah hampir 20 tahun beroperasi di kompleks tersebut, MDPT telah membina bangunan sendiri di Seri Iskandar dan telah berpindah pada 21 Okt 2013 dengan jumlah kakitangannya kini seramai 115 orang.

Sultan Perak Rasmi Kompleks Pentadbiran Majlis Daerah Seri Iskandar

SERI ISKANDAR:Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Kompleks Pentadbiran Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) yang baharu bernilai RM9.4 juta di Seri Iskandar di sini hari ini.

Turut berangkat ke majlis tersebut ialah Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa serta Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Hadir sama, Menteri Besar Datuk, Seri Dr. Zambry Abd Kadir dan Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah,Datuk Mohd Nizar Zakaria.

Kompleks pentadbiran baharu tersebut yang siap pada tahun 2013 dahulunya beroperasi di Pekan Parit dan berpindah ke kompleks Pentadbiran Daerah Perak Tengah lebih 20 tahun.

Manakala reka bentuk bangunan ini adalah berkonsepkan Green Building iaitu bangunan setinggi dua tingkat yang menempatkan 6 jabatan iaitu Jabatan Khidmat Pengurusan, Jabatan Perbendaharaan, Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta, Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Perbandaran, Jabatan Perancangan Pembangunan dan 3 unit iaitu Unit Pusat Setempat (OSC), Unit Perhubungan Awam dan Unit Undang-undang.

Kompleks ini juga menyediakan dewan mesyuarat yang boleh memuatkan 40 orang dan disertakan kemudahan-kemudahan lain seperti surau, galeri, bilik-bilik mesyuarat dan perbincangan serta kaunter utama dan kaunter pandu lalu.

Nizar semasa menyampaikan ucapan aluan berkata pembinaan kompleks tersebut bukan sahaja memberi keselesaan kepada pekerja tetapi juga untuk kegunaan rakyat yang menggunakan perkhidmatan (MDPT).

MDPT telah memperolehi sijil ekosistem kondusif Sektor Awam (EKSA) sekaligus menjadi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama di Negeri Perak dan kelima di Malaysia memperolehi sijil EKSA tersebut.

“MDPT turut mendapat pengiktirafan daripada Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai penggunaan Bahasa Kebangsaan yang baik dan betul pada papan iklan sempena Bulan Bahasa kebangsaan peringkat Negeri Perak,” katanya.

 

 

BR1M Bukan Pancing Undi – Zaim

Laporan dan foto : Paranthaman N. & M. Zailani O. (Perak Tengah)

SERI ISKANDAR, 16 Mac (UdaBayas) – Dalam pembentangan Bajet 2018, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) masih dikekalkan pada kadar RM6.8 bilion melibatkan 7 juta penerima manakala kadar maksimum pemberian BR1M sebanyak RM1,200 juga dikekalkan.

Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Zaim Abu Hasan ketika merasmikan Majlis Penyampaian BR1M bagi Parlimen Parit, Daerah Perak Tengah 2018 di Dataran LA21, di sini hari ini berkata BR1M jelas menunjukkan keprihatinan dan rasa tanggungjawab kerajaan memerintah terhadap rakyat.

“Ini bukanlah undi pancing sebaliknya bantuan untuk meringankan beban masyarakat ketika berdepan kos sara hidup yang semakin meningkat,” ujarnya.

Seramai 112 orang penerima BR1M terdiri daripada penduduk daerah ini telah berkumpul sejak pukul 8.00 pagi tadi.

Menurut Huzaima Ali, 60, penerima BR1M, bantuan seperti ini sangat membantu mereka yang memerlukan.

“Saya sangat bersyukur dengan keperihatinan kerajaan dalam memberikan bantuan kepada rakyat,” ujarnya.

Turut hadir, Pengerusi Jawantankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam, dan Pembangunan Sahsiah Negeri Perak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja, Datuk Dr. Mohd Nizar Zakaria, ADUN Bota, Datuk Nasarudin Hashim dan Penolong Pegawai Daerah Perak Tengah, Norhisyam Karno.

Elak Pertikaian Harta Pusaka Dengan Amalan Hibah: Sultan Perak

POH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah agar umat Islam menjadikan hibah sebagai amalan dalam menyelesaikan pertikaian berkaitan harta pusaka.

Titah baginda, majoriti umat Islam bukan sahaja kurang memberi perhatian, malah kurang pengetahuan tentang urusan pembahagian harta pusaka sehingga mengakibatkan harta yang ditinggalkan mencetuskan masalah setelah pemilik harta meninggal dunia. 

“Selain daripada hukum faraid, hibah ialah satu kaedah yang boleh digunakan untuk mengatasi masalah pembahagian harta.

“Hibah merupakan salah satu cabang muamalat, ‘akad tabaruk’ antara dua pihak, ia itu, proses memindah milik sesuatu harta tanpa sebarang balasan;  merupakan satu pemberian kepada seseorang untuk memuliakannya dengan sesuatu tujuan.

“Harta yang dihibah, dapat dijana dengan lebih pantas berbanding harta yang ditinggalkan berbentuk pusaka.  Islam menggalakkan amalan hibah, terutama kepada anggota keluarga terdekat,” titah baginda di Majlis Pelancaran Gerakan Kesedaran Hibah Peringkat Negeri Perak, disini, hari ini.

Baginda bertitah, Gerakan Kesedaran Hibah yang dilancarkan akan dilaksanakan di seluruh negeri Perak bagi memenuhi lima matlamat utama iaitu memperkenal dan menyedarkan umat Islam mengenai hibah.

Selain itu, ia juga boleh menghindar atau meminimumkan umat Islam daripada menghadapi masalah agihan harta pusaka selepas kematian pemilik harta.

“Malah, gerakan ini akan membantu agar harta pusaka dapat diagih dengan cepat dan tepat supaya boleh segera digunakan oleh penerima untuk menjana kegiatan ekonomi.

“Membimbing dan menggalakkan umat Islam melakukan hibah ketika masih hidup.

“Membantu memperkenal platform mengenai urusan menyediakan dokumen hibah melalui perkhidmatan profesional.

Titah baginda lagi, usaha memberi penerangan memperkenalkan hibah, hendaklah diperluaskan ke semua daerah dan jajahan di negeri Perak, hingga sampai ke mukim dan kampung, dilakukan secara berterusan dan berkesinambungan.

Selain itu, Gerakan menyedarkan dan memperkenalkan ummah mengenai hibah hendaklah disambut oleh semua  masjid, surau, pelbagai institusi latihan serta badan-badan bukan  kerajaan dan pertubuhan sukarela.

“Makluman mengenai hibah boleh diuar-uarkan secara lebih luas dengan memperkenalkan slot pendidikan dan soal jawab mengenai hibah di dalam program-program ‘Perak fm’.

Kerajaan Negeri Terus Beri Sokongan Pada Penganjuran Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah

IPOH:Kerajaan Negeri akan terus memberikan sokongan bagi penganjuran Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk tahun hadapan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selama tiga hari yang berakhir di sini hari ini boleh diangkat menjadi program bertaraf antarabangsa.

“Tahun ini muzakarah ini diangkat diperingkat nusantara dan mungkin tahun akan datang peringkat antarabangsa dengan melibatkan pembentang yang lebih ramai lagi membicarakan tajuk besar.

“Muzakarah Sultan Nazrin Shah baru sahaja berakhir dan saya mengucapkan tahniah kepada pihak panita yang dipengerusi Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria atas usaha penganjuran muzakarah yang begitu baik sekali melibatkan semua pihak termasuk juga menyaksikan perbincangan bertajuk ‘Kepimpinan dan Kekhalifahan, Gagasan Konstruktif Ulama dan Umara’ telah dapat menarik golongan bukan Islam termasuk juga pembentangan daripada profesor bukan beragama Islam untuk memberi gambaran keseluruhan tentang tajuk yang kita bincangkan,” katanya kepada media selepas merasmikan majlis penutup program Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang berlangsung di Pusat Konvensyen Aman Jaya, Casuarina@Meru, hari ini.

Turut berlangsung penyerahan sembilan resolusi muzakarah daripada tujuh pembentangan kertas kerja antaranya, memperingatkan para umara dan ulama supaya sentiasa bersama dan bersatu memainkan peranan penting dalam mebangunkan ummah, memperkasakan kesatuan ummah Islam yang lebih bersifat global dan Muzakarah disaran mencontohi tujuh formula pembangunan al-Fatih bagi mengembalikan keagungan dan kegemilangan umat.

Katanya, muzakarah tersebut tidak hanya tertumpu kepada perbincangan satu persoalan berkaitan hukum tetapi lebih melibatkan aspek keseluruhannya.

“Titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, semalam beri gambaran begitu baik mengenai impian baginda untuk melihat hubungan ulama, umara serta peranan oleh seorang ulama dan peranan umara telah membuka minda dan perspektif banyak pihak.

“Begitu juga ucapan oleh Mufti mengenai nasihatnya terhadap seorang raja pemerintah, erti kata yang lain bagaimana kedua-dua hubungan perlu dijalinkan dengan keadaan yang baik iaitu sentiasa nasihat menasihati untuk kebaikan bukan untuk keburukan,” katanya lagi.

Kata Zambry pandangn Mufti akan diambil perhatian bagi memastikan muzakarah ini dapat teruskan dengan mengambil tajuk yang berbeza.

Sementara itu Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria berkata setakat ini hubungan diantara pihak Istana dan ulama adalah baik dan menjadi tanggungjawab Jabatan Mufti memberi pandangan dan nasihat berkaitan hal Agama Islam kepada pihak raja-raja.

“Setiap negeri ada majlis agama dan jabatan mufti sentiasa berhubungan dengan pihak raja malah menjadi tugas utama jabatan Mufti memberi nasihat pada raja mengenai hal agama dan nasihat termasuk juga kepada kerajaan.

Ulama Dan Umara Perlu Saling Membantu, Bekerjasama-Sultan Perak

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah bahawa Ulama dan Umara, tidak harus disalah tafsir sebagai dua golongan yang terpisah sebaliknya perlu saling membantu dan bekerjasama melaksanakan tanggungjawab terhadap ummah.

Titah baginda tanggapan salah bahawa satu pihak bertanggungjawab kepada urusan agama, sementara yang satu lagi hanya bertanggungjawab kepada urusan negara semata.

“Islam tidak memisahkan kuasa agama dengan kepimpinan duniawi, dan tidak pula memisahkan kuasa pemimpin daripada agama, hatta memperkukuhkan betapa pentingnya Ulama dan Umara saling membantu dan saling bekerjasama melaksanakan tanggungjawab terhadap ummah,” titah baginda pada Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Casuarina @ Meru,di sini hari ini.

Titah baginda, diri Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam (SAW) itu dilengkapkan dengan ilmu dan kepimpinan, dua komponen yang sangat penting untuk mensejahterakan kehidupan ummah.

“Jawatankuasa Penganjur memilih ‘Kepemimpinan Dan Kekhalifahan, Gagasan Konstruktif Ulama dan Umara’ sebagai tema Muzakarah, agar Muzakarah ini dapat diteliti sumber yang telah menyuntikkan kekuatan kepada barisan pemerintah pada era kegemilangan Islam,” titah baginda.

Titah baginda lagi, Ulama dan Umara adalah pewaris Nabi iaitu Ulama mewarisi ilmu manakala Umara mewarisi kepimpinan selain Ulama merupakan sumber ilmu dan Umara pula merupakan sumber kepimpinan.

“Ilmu dan kepimpinan tidak boleh dipisahkan, begitu juga rangkaian Ulama dengan Umara. Sabda Rasulullah (SAW) bermaksud:

“Dua golongan utama di kalangan umat manusia, apabila kedua-duanya baik, maka akan baiklah umat manusia; dan apabila kedua-dua golongan itu rosak, maka rosaklah seluruh manusia, iaitu Ulama dan Umara,”titah baginda.

Baginda bertitah Ulama adalah pemimpin tidak formal, berakar di dalam masyarakat dan menjadi teladan kerana keluasan ilmu, keperibadian dan keikhlasan manakala Umara pula dilihat sebagai kepemimpinan dalam pemerintahan yang diamanahkan dengan tanggungjawab secara formal,berstruktur, memiliki bidang kuasa tertentu berlandaskan undang-undang untuk mengurus dan memimpin masyarakat.

Umara adalah satu keperluan di dalam masyarakat kerana tanpa Umara, masyarakat boleh menjadi kacau bilau, dan syariah tidak dapat dilaksanakan.

“Sabda Rasulullah (SAW) bermaksud:“Pemimpin itu ibarat perisai; orang akan berperang di belakangnya dan berselindung di sebaliknya.”kerana itu ALLAH Subhanahu Wata’ala menjanjikan kepada mereka tempat yang tinggi dan mulia pada hari akhirat, seperti yang disabdakan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bermaksud:

“Manusia yang paling dikasihi ALLAH dan diberi tempat yang terdekat sekali dengan Nya pada hari kiamat nanti ialah pemerintah yang adil. Sementara manusia yang paling dibenci ALLAH dan diletakkan di tempat yang paling jauh sekali dengan Nya pada hari kiamat nanti ialah pemerintah yang zalim.”

“Ada tujuh golongan manusia yang akan diberi berteduh oleh Allah SWT di bawah bayang Nya pada hari yang tidak ada bayang kecuali bayang Nya sahaja (salah satu daripadanya ialah) pemerintah yang adil.”

Titah Sultan Perak, Syeikh Abu ‘Abdillah al-Qal’i dalam kitabnya Tahzib al-Riyasah wa Tartib al-Siyasah menjelaskan “Sekiranya tidak ada seorang pemimpin yang dipatuhi, nescaya pudarlah kemuliaan Islam.

“Sekiranya tidak ada pemimpin yang berkuasa, maka hilanglah kestabilan keamanan dan terputuslah jalan kemakmuran. Negara berjalan tanpa undang-undang, anak-anak yatim terbiar dan ibadah haji tidak dapat dilaksanakan.

“Jika tidak ada pemimpin, nescaya sebahagian orang akan berleluasa memakan harta sebahagian yang lain” dan begitu juga pendapat tentang keharusan adanya pemimpin yang ditaati, oleh Ibn al-Mu’tazz berkata: “Rosaknya rakyat karena tidak ada pemimpin seperti rosaknya badan tanpa roh.”

“Di sisi Allah SWT, Ulama dan Umara mempunyai tugas dan tanggungjawab secara bersama, kerana ilmu dan kuasa merupakan amanah ALLAH SWT,” titah baginda.

Baginda bertitah, Ulama mempunyai tugas utama melakukan tafaqquh fid diin (memberi pemahaman tentang agama) dan memberikan peringatan kepada masyarakat serta membimbing umat dengan petunjuk-petunjuk ilahiah (ketuhanan).

“Sejarah mencatatkan, di kalangan para pemimpin Islam yang memiliki nama-nama besar, mereka tidak terpisah daripada bimbingan Ulama, seperti Khalifah Harun al-Rasyid bersama Yahya ibn Khalid Al-Barmak, Shalahuddin Al Ayyubi bersama Bahauddin bin Shaddad, dan Sultan Muhammad Al Fatih dengan bimbingan Aq Samsuddin dan Syeikh al-Kurani.

Imam al-Ghazali turut memperingatkan kerosakan para Umara berlaku kerana kerosakan para Ulama, tegas beliau:

“Adalah menjadi kebiasaan bagi para Ulama untuk melakukan amar makruf dan nahi mungkar tanpa mengambil kira sangat tentang kekejaman pemerintah. Mereka sangat percaya bahawa ALLAH akan menjaga mereka. Mereka rela menjadi syahid kalau sudah ditakdirkan begitu.

“Oleh kerana mereka itu ikhlas hati, orang mudah menjadi lembut dan terbuka untuk menerima nasihat mereka.

“Tetapi sekarang, lidah para ulama telah menjadi kelu kerana diikat oleh kepentingan. Kalaupun mereka bercakap, mereka tidak akan berjaya kerana pembawaan hidup mereka sendiri berbeza dengan apa yang dicakapkan.

Sesungguhnya rakyat rosak kerana pemerintah, dan pemerintah rosak kerana Ulama. Sementara Ulama pula rosak kerana tamak harta dan pangkat.

“Maka sesiapa yang dikuasai oleh kecintaan kepada dunia, dia tidak akan mampu memberi nasihat walaupun kepada orang bawahan, apa lagi kepada pemerintah dan pembesar,” titah baginda.