IPOH: Pengalaman sukar untuk melupuskan Al-Quran yang rosak ketika banjir besar tahun 2014 menjadi pencetus idea untuk Perak membina sendiri pusat pelupusan Al-Quran.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah Negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, kebuk (insinirator) pusat pelupusan itu dibina dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UiTM Shah Alam.

Menurut beliau, penggunaan pusat pelupusan sendiri itu juga boleh memberi banyak penjimatan dari segi kewangan, masa dan tenaga.

“Dengan adanya kebuk ini, akan memudahkan umat Islam di negeri Perak untuk melupuskan Al-Quran yang telah rosak, bukannya membuang atau meletakkannya merata-rata,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pusat itu di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM) di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin dan timbalannya, Harith Fadzilah Abdul Halim.

Drs Mohd Nizar berharap umat Islam di negeri ini yang ingin melupuskan Al-Quran yang rosak dan tidak boleh dibaca, dapat mengumpulkannya di masjid-masjid di seluruh negeri, Pejabat Agama Islam Negeri dan Daerah atau menghantar terus ke pusat pelupusan itu di INTIM.

Sementara itu, Mohd Yusop memberitahu, sebelum ini pihaknya membelanjakan kira-kira RM100,000 untuk proses pelupusan yang dilaksanakan oleh syarikat swasta, sebelum dilupuskan di tengah laut.

Menurut beliau, kos pembinaan kebuk itu hanya sekitar RM30,000 dan penyediaaan tapak pula hanya kira-kira RM20,000.

“Kita mendapat kerjasama daripada pihak JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) dan KDN (Kementerian Dalam Negeri), khususnya untuk melupuskan bahan-bahan bercetak Al-Quran yang rosak atau yang tersalah cetak dan sebagainya,” ujarnya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UiTM Shah Alam, Ir Razali Hassan berkata, pembinaan kebuk pusat pelupusan itu menggunakan inovasi terkini untuk melupuskan abu Al-Quran secara terkawal.

Proses pembakaran Al-Quran itu dilaksanakan dengan rapi dan lengkap, tanpa mengeluarkan asap dan abu yang terhasil, dilarutkan terlebih dahulu di dalam air sebelum dilepaskan ke sungai berhampiran.