Zambry tolak dilantik semula?

IPOH – Adun Pangkor, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dikatakan menolak lantikan semula beliau sebagai Pengerusi Umno bagi memberi laluan kepada Datuk Saarani Mohamad bagi penggal 2018-2021.

Ketua Umno Bahagian Beruas Datuk Dr Azhar Ahmad berkata, pihaknya menerima berita tersebut daripada sumber yang boleh dipercayai.

“Berdasarkan maklumat dipercayai, Datuk Seri Zambry menolak untuk dilantik semula sebagai Pengerusi Umno Perak dan memberi laluan kepada orang baru.

“Bagaimanapun saya difahamkan beliau menyatakan kesediaan untuk membantu Datuk Saarani dan inilah bukti bahawa beliau seorang pemimpin berjiwa besar selain membuktikan Umno Perak di bawah pimpinannya adalah yang terbaik kerana memenangi 27 kerusi Dun PRU14 lalu,” katanya.

Mengulas mengenai lantikan Saarani mengantikan Zambry, Azhar berkata dia yakin dengan kebolehan Adun Kota Tampan itu memimpin Umno Perak memandangkan sebelum ini Saarani merupakan Timbalan Pengerusi Umno Perak.

“Datuk Saarani mempunyai kelebihan kerana dia pernah bersama-sama membantu Datuk Seri Zambry sebelum ini sebagai Timbalan dan sudah pasti pengalaman berkenaan amat berharga untuk menerajui Umno Perak.

“Sudah pasti pelantikan ini membawa harapan besar pertama kepada Umno, kedua harapan rakyat yang menyokong Umno dan ketiga harapan rakyat yang mahu melihat ke mana Umno Perak ini akan dibawa,” katanya.

Tambahnya, sebagai ketua Umno bahagian yang baharu adalah menjadi harapan agar Saarani berjaya mengemudi kapal hingga ke destinasinya dan untuk memastikan kejayaan beliau tidak boleh bergerak sendirian.

“Kerana inilah kita perlu mewujudkan silaturahim kasih sayang antara ketua bahagian dan jangan ada yang tikam-menikam, mengadu domba, menghala peluru sesama kita hingga tidak tahu bagaimana berdepan dengan musuh,” katanya.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria ketika dihubungi Sinar Harian memaklumkan pihaknya yakin Saarani akan membawa semangat baharu kepada Umno Perak.

“Beliau mempunyai pengalaman yang cukup banyak dan mampu menggalas serta memikul tanggungjawab bagi menjadi ketua di peringkat negeri di dalam suasana Umno tidak berkuasa ketika ini.

“Harapan saya agar semua peringkat dapat memainkan peranan masing-masing dengan memberikan tumpuan serta bangkit secara seiring dengan cabaran sedia ada,” katanya.

Tambahnya kepimpinan Saarani yang cukup rapat dengan ahli serta masyarakat dilihat mampu memulihkan semangat membara ahli Umno dan rakyat yang masih mengharapkan wadah parti untuk menjaga agama.

Calon BN Parit Penuhi Aspirasi Anak Muda

PARIT: Langkah Barisan Nasional (BN) meletakkan tiga calon muda di bawah umur 50 tahun di Parit, dikatakan sesuai dengan harapan dan aspirasi anak muda di kawasan tersebut.

Calon Parlimen, Datuk Mohd Nizar Zakaria, 49, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Belanja, Khairudin Abu Hanipah, 46 dan calon DUN Bota, Khairul Shahril Mohamed , 45, diyakini mampu meningkatkan lagi pembangunan Parit.

Ketiga-tiga calon itu juga mempunyai nama gelaran masing-masing oleh masyarakat setempat di mana Nizar lebih dikenali dengan Ustaz Nizar, manakala Khairudin sebagai Cikgu Din dan Khairul sebagai KP Shahril.

Dalam masa sama, beberapa anak muda yang ditemui juga yakin, ketiga-tiga calon itu telah mendapat tunjuk ajar yang sangat berguna daripada pemimpin terdahulu seperti bekas Ahli Parlimen, Datuk Mohd Zaim Abu Hassan dan bekas ADUN Bota, Datuk Nasarudin Hashim.

Mereka berharap, calon-calon itu juga akan turut melaksanakan pelbagai program untuk memenuhi citarasa anak muda masa kini.

Shamsul Azhar, 39, dari Padang Changkat berkata, anak muda di Parit semakin meminati aktiviti sukan lasak seperti motocross, berkayak dan ekspedisi meredah hutan.

Dia yang mula berkecimpung di dalam sukan trialbike sejak enam tahun lalu, yakin Nizar, Cikgu Din dan KP Shahril lebih memahami citarasa anak muda sekarang kerana mereka sudah merasainya.

“Alhamdulillah, Perak Tengah telah mempunyai tiga trek pertandingan motocross dan satu trek untuk latihan. Saya harap sukan lasak ini dapat diperkenalkan lagi di daerah ini,” katanya ketika ditemui di litar Kem Kota, Tanjung Medan dekat sini, baru-baru ini.

Mohd Khairul Shima Mohd Shah, 34, dari Titi Gantung pula berharap, bakal wakil rakyat di Parit dapat mendengar suara anak muda sepertinya.

“Setakat ini, kami memang mengenali ketiga-tiga calon BN dan mereka sentiasa memberi sokongan terhadap aktiviti yang kami lakukan,” ujarnya.

Bagi Amir Zarifuddin, 20, pula, bakal pemimpin mesti bersedia untuk menganjurkan pelbagai program yang melibatkan anak-anak muda supaya mereka tidak terlibat dengan aktiviti yang tidak berfaedah.

“Saya nampak, sukan lasak seperti motocross ini boleh pergi jauh dan boleh membentuk disiplin anak muda seperti saya,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Motocross Perak Tengah dan Aura Seven Racing Team, Fairuddin Rastam berkata, setakat ini kelab tersebut mempunyai lebih 200 ahli yang turut menawarkan latihan ntuk kanak-kanak yang berumur seawall lima tahun.

“Sukan ini mampu menarik minat generasi muda dan berdasarkan pengalaman saya lebih 10 tahun, sukan ini juga, mampu membentuk disiplin anak muda dan mengelakkan mereka melakukan perkara yang tidak berfaedah,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau yakin, calon-calon BN di Parit, khususnya Ustaz Nizar, mampu membantu merealisasikan harapan anak muda, khususnya mereka yang meminati sukan lasak.

Anak Muda Perlu Sokong BN – Nizar

PARIT: Anak muda di Parit harus mencontohi majoriti golongan dewasa yang terus menyokong Barisan Nasional (BN) demi meneruskan pembangunan yang telah dirancang untuk kawasan tersebut.

Calon Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria berkata, sebagai pewaris masa depan, anak-anak muda juga mesti menyiapkan diri untuk meneruskan kesinambungan perjuangan agama, bangsa dan tanahair.

Dalam masa sama, beliau meminta mereka supaya membantu jentera kempen BN, termasuk melalui media sosial seperti whatsapp dan facebook

“Gunakan kempen kali ini untuk mengumpul pengalaman demi meneruskan legasi kepimpinan BN supaya kita terus menerajui kepimpinan negeri dan negara,” katanya dalam siri kempennya di seluruh Parit, malam tadi.

Nizar yang lebih mesra dipanggil Ustaz Nizar meluangkan masa sehingga jam 2 atau tiga pagi sejak hari penamaan calon untuk berjumpa petugas BN di pusat daerah mengundi (PDM) di dalam dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bota dan Belanja.

Di dalam ucapan ringkasnya, beliau merayu mereka supaya terus bekerja kuat sehingga hari pengundian dan dalam masa yang sama, menjaga kesihatan, keselamatan serta kad pengenalan masing-masing.

Beliau turut menyantuni anak-anak muda yang bersengkang mata sehingga awal pagi untuk memasang poster, kain rentang dan bahan-bahan kempen lain.

Di sebelah siangnya beliau bersama-sama calon DUN Bota, Khairul Shahril Mohamed dan calon DUN Belanja, Khairudin Abu Hanipah berjumpa seberapa ramai pengundi menerusi pelbagai program seperti minum pagi di warung dan lawatan rumah ke rumah.

Mereka turut dibantu dua tokoh kepimpinan bahagian, bekas Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Zaim Abu Hassan dan bekas ADUN Bota, Datuk Nasarudin Hashim, di samping Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian serta sayap-sayap.

Ustaz Nizar ketika ditemui melahirkan rasa terharu dan terima kasih kepada semua pihak, termasuk bekas-bekas pemimpin UMNO Bahagian, yang banyak membantu untuk memenangkan calon-calon BN.

“Alhamdulillah, kami mendapat bantuan dan sokongan kuat daripada abang-abang, kakak-kakak dan ibu bapa yang sentiasa tampil bila-bila masa untuk membantu,” ujarnya.

Penjawat Awam Perlu Jaga Intergriti

IPOH: Penjawat awam di negeri ini dinasihatkan supaya menjaga intergriti kerana mereka adalah wakil kerajaan yang melaksanakan segala polisi dan dasar yang diputuskan kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, rakyat akan menilai perkhidmatan mereka yang turut memberi kesan kepada kerajaan.

Menurut beliau, sekiranya rakyat berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan penjawat awam, sudah tentu secara tidak langsung memberi implikasi politif kepada kerajaan.

Dalam masa sama, kata beliau, penjawat awam juga mesti bersedia mengikuti perubahan yang diperkenalkan kerajaan di dalam sektor perkhidmatan dari semasa ke semasa.

“Kita mesti bersikap positif dan sentiasa bersyukur dengan apa yang dinikmati, kalau kita bersyukur, insya Allah, kita akan mendapat lebih lagi,” katanya kepada Suara Perak selepas merasmikan penutup taklimat pembangunan organisasi kesatuan-kesatuan di bawah gabungan CUEPACS di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi CUEPAS Negeri Perak yang juga Timbalan Presiden II CUEPACS Kebangsaan, Zainal Ismail.

Drs Nizar berkata, sekarang ini, banyak insentif dan kemudahan yang diberikan oleh kerajaan untuk penjawat awam seperti skim gaji yang baik, elaun, cuti dan pelbagai insentif yang sentiasa diperbaiki dari semasa ke semasa.

Sehubungan itu, katanya, mereka perlu terus mengamalkan disiplin, etika kerja yang baik dan mempunyai iltizam untuk bekerja lebih kuat.

“Dalam kehidupan ini, kita ada pelbagai masalah dan kita perlu bijak menguruskannya. Setiap orang ada cabaran dan masalah yang berbeza-beza, laksanakan tugas masing-masing dengan baik,” ujarnya.

RM2.7j bangunkan pekebun kecil

PARIT – Peruntukan sebanyak RM2.7 juta bakal diagihkan bagi program pembangunan pekebun kecil getah di daerah Perak Tengah/Kinta bagi tahun ini.

Pegawai Risda Daerah Perak Tengah/Kinta Mohd Saidi Mustapha berkata, peruntukan itu melibatkan pelbagai bantuan termasuklah bantuan tanam semula, bantuan baja, bantuan cuka getah dan bahan ransangan getah.

Menurutnya, di Perak Tengah terdapat seramai 3,912 pekebun kecil getah dengan keluasan 6,346 hektar kebun getah.

“Kita ada pelbagai bantuan bagi meningkatkan hasil pendapatan pekebun kecil getah di daerah ini termasuklah bantuan tanam semula, bantuan baja, bantuan cuka getah dan sebagainya.

“Bantuan-bantuan ini akan diberikan secara berperingkat hingga menjelang hujung tahun nanti,” katanya ketika majlis perasmian depo belian getah di Kampung Changkat Banjar baru-baru ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Adun Belanja yang juga Exco Kerajaan negeri, Datuk Mohd Nizar Zakaria.

Sementara itu, Mohd Nizar berkata, kerajaan menyediakan pelbagai bantuan bagi meringankan beban penduduk selain membantu meningkatkan hasil pendapatan.

“Dari segi pekebun kecil getah sendiri terdapat pelbagai bantuan termasuklah bantuan RM200 kepada pekebun kecil getah, bantuan tanam semula dan sebagainya.

“Kerajaan juga turut membantu dari segi penyediaan depo belian getah ini bagi memudahkan penduduk menjual hasil getah mereka,” katanya.

Menurutnya, selain mengharapkan bantuan, rakyat juga harus berusaha untuk mengubah kehidupan mereka supaya menjadi lebih baik.

Sultan Nazrin rasmi Kompleks Majlis Daerah Perak Tengah

PARIT 19 Mac – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini berkenan merasmikan Kompleks Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) di Seri Iskandar di sini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Besar Perak, Tunku Soraya Almarhum Sultan Abdul Halim.

Keberangkatan baginda diiringi oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, beberapa exco kerajaan negeri dan Yang Dipertua MDPT, Muhamad Ghopran Yeop Hamzah.

Pada majlis tersebut, Sultan Nazrin berkenan menandatangani plak sebagai gimik perasmian serta melawat pameran di galeri Kompleks MDPT.

MDPT yang dahulunya terletak di pekan Parit, telah dipindahkan ke pusat pentadbiran baharu di Kompleks Pentadbiran Daerah Perak Tengah yang turut menempatkan pelbagai agensi lain di Seri Iskandar, pada 23 September 1993.

Setelah hampir 20 tahun beroperasi di situ, MDPT membina bangunannya sendiri dan kini dinamakan sebagai Kompleks MDPT.

Kawasan pentadbiran di bawah MDPT adalah seluas 43,615 hektar merangkumi Parit, Simpang Tiga Buluh Akar, Tanjung Belanja, Bota, Seri Iskandar, Titi Gantung, Kampung Gajah dan Felcra Seberang Perak. – UTUSAN ONLINE

Sultan Nazrin rasmi Kompleks 
Majlis Daerah Perak Tengah

PARIT 19 Mac – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini berkenan merasmikan Kompleks Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) di Seri Iskandar di sini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Sa­lim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Almarhum Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Besar Perak, Tunku Soraya Al­marhum Sultan Abdul Ha­lim.

Keberangkatan baginda di­iringi Menteri Besar, Da­tuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Setiausaha Kerajaan Nege­ri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Na­yan dan Yang Dipertua MDPT, Muhamad Ghopran Yeop Ham­zah.

Pada majlis tersebut, Sultan Nazrin berkenan menandata­ngani plak sebagai simbolik pe­rasmian serta melawat pameran di galeri Kompleks MDPT.

MDPT yang dahulunya terletak di pekan Parit, telah dipindahkan ke pusat pentadbiran baharu di Kompleks Pentadbiran Daerah Perak Tengah yang turut menempatkan pelbagai agensi lain di Seri Iskandar, pada 23 September 1993.

Setelah hampir 20 tahun beroperasi di situ, MDPT membina bangunannya sendiri dan kini diberi nama Kompleks MDPT.

Kawasan pentadbiran di ba­wah MDPT adalah seluas 43,615 hektar merangkumi Parit, Simpang Tiga Buluh Akar, Tanjung Belanja, Bota, Seri Iskandar, Titi Gantung, Kampung Gajah dan Felcra Seberang Perak.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja, Datuk Mohd. Nizar Zakaria ketika berucap pada maj­lis tersebut berkata, Kompleks MDPT bernilai RM9.4 juta itu menempatkan enam jabatan serta memiliki kemudahan se­perti dewan mesyuarat, surau, galeri dan kaunter pandu lalu.

Beliau berkata, pembinaan Kompleks MDPT bukan sahaja memberikan keselesaan kepada penduduk setempat untuk menjalankan pelbagai urusan, malah menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam melaksanakan sistem penyampaian berkualiti.

“Pada 2016, MDPT dianugerahkan Sijil Ekosistem Kon­dusif Sektor Awam (EKSA) sekali gus menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Perak dan kelima memperoleh sijil tersebut,” katanya.