IPOH: Selepas ikrar bebas rasuah (IBR) di kalangan pengurusan masjid di seluruh negeri, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) mengadakan pula IBR untuk kakitangannya sendiri.
Ia sekaligus membuktikan jabatan itu serius menyahut seruan kerajaan di dalam menangani rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan.
IBR kedua itu diadakan sempena program Eksekutif Talk dan Perutusan Tahun Baru 2018 JAIPk serta Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM) di sini, hari ini.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah Negeri Perak, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria, Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Perak, Datuk Zainul Darus dan Timbalan Pengarah JAIPk, Harith Fadzilah Abdul Halim.
Drs Nizar di dalam ucapannya menggariskan empat perkara yang perlu menjadi pegangan dan amalan kakitangan JAIPk untuk terus memacu kecemerlangan jabatan itu.
Menurut beliau, empat perkara itu ialah komitmen, kebersamaan, komunikasi dan keutamaan.
“Sekiranya empat perkara ini ada di kalangan penjawat awam, insya Allah organisasi kita akan terus mencapai kejayaan dan kecemerlangan,” kata beliau.
Beliau turut mengingatkan penjawat awam supaya menjaga kerahsiaan kerana jika tidak, ia boleh merosakkan jabatan dan organisasi yang menjadi tempat mereka mencari rezeki.