DISEBALIK penentangan dan fitnah yang bertubi-tubi dari Tun Dr Mahathir Mohamad, pengurusan syarikat 1MDB tidak patah semangat untuk terus menaja ribuan umat Islam bagi mengerjakan ibadah Rukun Islam kelima itu di Tanah Suci.
Pada 2 Februari 2018, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak telah hadir bagi menyerahkan sendiri surat tawaran fardhu haji keapda mereka yang layak dan terpilih bagi mengikuti ibadah tersebut pada tahun ini.
Seramai 1,200 peserta yang terdiri daripada pemimpin agama dan masyarakat akar umbi telah menerima surat tawaran berkenaan dari tangan Perdana Menteri sendiri.
Bakal jemaah haji yang terpilih itu terdiri daripada kalangan imam masjid dan surau, ketua kampung serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari seluruh negara.
Sejak mula dilaksanakan pada tahun 2011, program yang sudah pun memasuki tahun kelapan penganjurannya itu telah berjaya menghantar seramai 5,711 orang peserta untuk menunaikan ibadah haji buat kali pertama.
Menurut Perdana Menteri, Malaysia mampu menghantar jemaah haji dalam jumlah ramai saban tahun kerana ada hubungan baik dengan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud serta pihak kerajaan Arab Saudi.
Penganjuran program berkenaan yang memasuki tahun kelapan ini membuktikan bahawa kritikan yang dibuat oleh Pengerusi Pakatan Harapan itu adalah tidak tepat dan tidak lebih sekadar propaganda bagi menimbulkan kebencian rakyat terhadap pentadbiran Kerajaan Persekutuan.
Semoga usaha murni Perdana Menteri ini akan dibalas kembali dengan kejayaan besar ketika Barisan Nasional menghadapi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) tidak lama lagi. –TV14