IPOH – Di sebalik perbezaan fahaman serta ideologi politik semua pihak perlu mengekalkan amalan hidup yang berteraskan kasih sayang dan bersatu padu sebagaimana yang diamalkan dalam Islam.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, amalan sedemikian diyakini mampu menggelakkan insiden-insiden yang tidak diingini seperti pergaduhan sesama sendiri kelak.
“Kita lihat ada pihak berparti-parti duduk atas pentas tiada tajuk lain selain maki hamun, mengaibkan orang dan menfitnah orang, kita cuba bawa balik rapatkan dan kini semakin rapat.
“Dahulu kedua pihak tidak boleh bertegur sapa kini boleh kerana kita bawa mesej Islam iaitu berkasih sayang, jangan bergaduh disebabkan masalah parti kumpulan itu.
“Kita terus usahakan buat kerja ini, setiap orang membawa mesej ini,” katanya ketika berucap pada Karnival Mahabbbah Institusi Agama Islam Negeri Perak di Masjid An-Nur, Batu Lapan Hulu Kinta sempena program Permukiman Menteri Besar Di Daerah Kinta, semalam.
Pada majlis itu juga Zambry turut menyempurnakan majlis pelancaran Aplikasi dan Transformasi Digital Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) bersama KPerak INC Corporation, menyampaikan cek penghargaan kepada 40 guru Kafa yang telah pencen pada 2017 lalu.