POH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, perbuatan mencalar kesucian dan nama baik Islam mesti dihentikan dan dibanteras secara tegas.
Titah baginda, Malaysia adalah sebuah negara yang harum namanya lagi dihormati di kalangan negara-negara Islam dan bukan Islam kerana amalan kesederhanaan beragama.
Bagaimanapun, baginda bertitah, kesucian dan nama baik Islam semakin dicalarkan di negara ini oleh perbuatan individu dan pendirian institusi tertentu yang membenarkan para petugas melakukan pelbagai tindakan atas tujuan mahu menguatkuasakan peraturan untuk melindungi Islam.
“Kata-kata penghinaan yang diungkapkan dan tindakan-tindakan berunsur dendam, ugutan, tangkapan, tahanan dengan kaedah soal siasat yang mengandungi elemen-elemen seksaan dan deraan, telah memberi imej tersangat negatif terhadap cara Islam diamalkan di negara ini,” titah baginda ketika merasmikan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak di sini, hari ini.
Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Hadir sama, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin.
Sultan Nazrin bertitah, Allah SWT tdak sama sekali menurunkan sebarang kuasa kepada sesiapapun untuk menghukum seseorang itu sebagai ahli syurga atau ahli neraka.
Titah baginda, Islam juga tidak mengizinkan perbuatan memulau mana-mana kumpulan atau memutuskan silaturahim dengan mana-mana individu, hingga ke tahap penghinaan tidak mahu menguruskan jenazah seseorang individu yang telah meninggal dunia, hanya berpunca daripada perselisihan tafsiran dan pandangan.
“Perbuatan-perbuatan sedemikian adalah perbuatan melampau dan keterlaluan yang sangat bercanggah dengan sifat-sifat mulia yang dipamerkan oleh Rasulullah SAW.
“Islam menganjurkan kesederhanaan. Oleh itu majoriti umat yang berpegang kepada amalan kesederhanaan, wajib bangun bersuara, dan suara majoriti ini jangan sama sekali merelakan untuk ditenggelami oleh kumpulan ekstrem yang minoriti.
“Umat hendaklah mengembalikan azam dan tekad untuk mendekatkan ummah dengan Allah SWT, menjadikan Islam pakaian luaran dan pegangan dalaman, melalui pendekatan dakwah secara berhikmah, melalui pengajaran baik secara contoh – secara teladan, serta melalui perdebatan yang tertib, sopan lagi beradab, ” titah baginda.
Pada majlis itu, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan Anugerah Imam kepada Bahari Ahmad; Anugerah Muazzin (Husain Lebai Ismail); Anugerah Siak (Saad Brahim) dan Anugerah Pendakwah (Muhd Nassir Thanabalan Abdullah).
Masing-masing membawa pulang wang tunai RM3,000 berserta plak, sijil dan hadiah iringan.
Baginda turut menyampaikan Anugerah Keluarga Mithali kepada Ismail Abdullah yang menerima wang tunai RM5,000, sijil, plak dan hadiah iringan.