Program Pemutihan Tahfiz Hingga Januari 2018

IPOH: Maahad tahfiz di negeri Perak yang belum berdaftar diminta berbuat demikian selewat-lewatnya Januari depan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, program pemutihan itu dilakukan selama enam bulan sejak Ogos lalu.

Menurut beliau, setakat ini 53 buah tahfiz telah berdaftar, 20 lagi masih dalam proses manakala 33 lagi belum berdaftar.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pihak pengurusan tahfiz berkenaan supaya segera mendaftar demi untuk memudahkan langkah-langkah penambahbaikan.

“Kita tidak pernah hendak sekat atau tutup mana-mana yang tidak daftar walaupun ia dibolehkan oleh undang-undang kerana kerajaan sedar kepentingan tahfiz untuk melahirkan modal insan yang berilmu dan beramal.

“Kita tak mahu kacaupun, cuma kita mahu mendaftarkannya untuk kebaikan sahaja, oleh itu tolonglah bersangka baik,” katanya kepada Suara Perak selepas merasmikan Kursus Pengurusan Tahfiz & Pondok di Hotel Seri Malaysia di sini pada Isnin.

Hadir sama Ketua Penolong Pangarah Bahagian Pendidikan, Jabatan Agama Islan Perak (JAIPk), Mohamad Nasar Kurdi.

Selain 106 maahad tahfiz, terdapat 13 pondok di Perak yang telah berdaftar, kebanyakkan melibatkan warga emas.

Drs Nizar turut meminta pihak pengurusan tahfiz memberi kerjasama kepada semua pihak yang terlibat dalam peruntukan bajet RM50 juta untuk penyelenggaraan pendawaian di tempat masing-masing.
Bajet tersebut yang disalurkan melalui Giatmara telah diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2018 baru-baru ini.

Sementara itu, Mohamad Nasar pula berharap pihak pengurusan tahfiz yang telah berdaftar dapat membimbing tahfiz yang belum berdaftar untuk berbuat demikian.

Ambil Kesempatan Pangkor Pulau Bebas Cukai

MANJUNG: Penduduk daerah Manjung patut bersyukur apabila Pangkor diisytiharkan sebagai pulau bebas cukai.

Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, mereka harus mengambil peluang yang ada untuk meningkatkan lagi taraf hidup mereka.

Dalam masa yang sama, katanya, rakyat Manjung khususnya dan Perak amnya patut berterima kasih kepada Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang telah berusaha untuk mendapatkan status itu.

“Beliau istiqamah sejak dari dulu lagi dengan terus berusaha untuk mendapatkan status bebas cukai itu,” katanya kepada Suara Perak selepas mewakili Menteri Besar merasmikan Program Fit Perak di Arena Square Taman Samudera di sini pada Sabtu.

Hadir sama Ahli Dewan Undang Negeri (ADUN) Rantau Panjang, Datuk Rashidi Ibrahim dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Aznel Ibrahim.

Terdahulu, Dr Zambry sempat melakukan upacara pelepasan peserta yang mengambil bahagian di dalam acara berjalan kaki, selepas ke Hutan Melintang untuk menghadiri Sambutan Deepavali peringkat negeri.

Sementara itu, Dr Nizar menyambut baik pemberian bantuan khas RM1,500 kepada guru KAFA & Takmir, imam, bilal dan siak yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2018 semalam.

“Pemberian itu adalah satu lagi bukti keprihatinan kerajaan terhadap kumpulan ini yang telah banyak memberi sumbangan kepada pembangunan sahsiah komuniti di tempat mereka,” ujarnya.

Beliau turut menyambut baik peruntukan RM50 juta yang disalurkan melalui Giatmara untuk menyelenggara sistem pendawaian maahad tahfiz yang berdaftar di seluruh negara.

Drs Nizar memberitahu, setakat ini terdapat 96 maahad tahfiz di negeri Perak telah mendaftar manakala hanya 10 yang masih belum berdaftar.

“Kita akan terus menasihatkan mereka supaya memudahkan untuk membuat pemantauan di samping menyalurkan bantuan yang diperlukan untuk membaiki lagi maahad tahfiz masing-masing,” kata beliau.

3,000 Hadiri Program Ceramah Perdana Ustaz Kazim

LEKIR: Lebih 3,000 umat Islam membanjiri Dataran Amanjaya Lekir untuk mendengar Ceramah Perdana Datuk Ustaz Kazim Elias Al-Hafiz sempena Permukiman Menteri Besar di Daerah Manjung.

Dataran Amanjaya Lekir yang baru sahaja dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada Khamis, meriah malam ini sehingga jam 11.

Di dalam ceramahnya, seperti biasa Ustaz Kazim membawakan isu-isu kehidupan seharian seperti perkataan yang mudah tetapi sukar untuk diucapkan.

Antara perkataan itu ialah minta maaf, tolong dan terima kasih di samping kesudian memaafkan orang lain.

Hadir sama mendengar ceramah beliau ialah anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Saarani Mohamad dan Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria, Orang Besar Jajahan Manjung, Lt Kol (B) Datuk Shaharuddin Nazari, ADUN Pasir Panjang, Datuk Rashidi Ibrahim dan Ketua Hakim Syarie Perak, Datuk Asa’ari Mohd Yazid.

Ceramah Perdana Ustaz Kazim dianjurkan bersama kerajaan negeri Perak dan beberapa buah syarikat berkaitan kerajaan serta Yayasan Kemajuan Islam Darul Ridzuan (KADIR). 

Permukiman Bukti Kesepaduan Pemimpin Dan Rakyat

LEKIR: Permukiman Menteri Besar yang dilaksanakan di setiap daerah di negeri ini adalah satu lagi bukti kesepaduan pemimpin dan rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, dalam kehidupan bermasyarakat, semua pihak saling memerlukan antara satu sama lain.

Menurut beliau, apa yang penting ialah semua pihak dapat mengurus tadbir tugas seharian masing-masing dengan baik dan teratur.

“Dalam dunia ini, kita tidak boleh hidup sendirian, sebaliknya kita saling memerlukan, perlu juga ada kebersamaan,” katanya ketika berucap menutup Karnival Mahabbah Institusi Agama Islam Negeri Perak di pekarangan Masjid Ar Raudhah, Kg Tersusun Bt 7, di sini pada Jumaat.

Hadir sama Pengerusi Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan, Datuk Saarani Mohamad, OBJ Manjung, Lt Kol (B) Datuk Shaharuddin Nazari, ADUN Pasir Panjang, Datuk Rashidi Ibrahim, Ketua Hakim Syarie Perak, Datuk Asa’ari Mohd Yazid, Timbalan Pengarah JAIPk, Harith Fadhilah Abd Halim dan Timbalan Mufti Perak, Zamri Hashim.

Pelbagai aktiviti diadakan di dalam program sempena Permukiman Menteri Besar di Daerah Manjung, antaranya dialog bersama pemimpin, Klinik Dr Zambry, pameran jabatan / agensi kerajaan, pemeriksaan dan kenduri rakyat.

Turut diadakan penyampaian geran hak milik tanah kepada 43 orang penduduk Kampung Tersusun Bt. 15 di sini.

Pembangunan Perspektif Islam, Tema TN50 Pemukiman Manjung

BERUAS: Sesi ‘town hall’ Transfomasi Nasional 2050 (TN50) yang diadakan di Dewan Inderawati di sini pada Selasa, membawa kelainan dimana kali ini Pembangunan Dari Perspektif Islam diangkat sebagai tema.

Ahli panelnya terdiri daripada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria; ADUN Pengkalan Baru, Datuk Abdul Manaf Hashim serta Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak, Dr Amiruddin Mohamed.

Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Harith Fadzilah Abdul Halim pula bertindak sebagai moderator.

Antara perkara yang dilontar dan dibincangkan ialah pemerkasaan institusi zakat dan maahad tahfiz, pusat transit dan perlindungan buat golongan mualaf, masalah sosial dalam kalangan anak muda serta kewujudan masjid yang mesra Orang Kelainan Upaya (OKU).

Program yang berlangsung sekitar 3 jam itu dihadiri kira-kira 800 orang, terdiri daripada pelajar, kakitangan awam, dan penduduk setempat.

Ia diadakan bersempena dengan program pemukiman bagi daerah Manjung yang bermula hari ini.

1,069 Calon Menduduki Peperiksaan Idadi, 2,360 Calon Thanawi

IPOH: Seramai 1,069 calon sekolah menengah agama dan maahad tahfiz di negeri ini menduduki peperiksaan Idadi manakala 2,360 lagi menduduki peperiksaan Thanawi yang dijalankan serentak mulai hari ini.

Calon-calon peperiksaan Idadi adalah dari 26 sekolah iaitu tiga buah adalah Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN), lima Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan (SMTDR) lima Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) dan tiga maahad tahfiz.

Calon-calon peperiksaan Thanawi pula daripada tiga buah SMAN, empat SMTDR, 23 SABK, 14 SMAR dan tiga maahad tahfiz.

Peperiksaan Idadi adalah untuk pelajar tingkatan dua manakala Thanawi pula untuk tingkatan empat.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, peperiksaan itu adalah kelebihan untuk pelajar sekolah agama, yang sama penting dengan peperiksaan lain.

“Sijil peperiksaan ini sama penting dengan sijil peperiksaan lain untuk mereka melanjutkan pelajaran, khususnya ke negara-negara Timur Tengah seperti Mesir dan Jordan,” katanya kepada Suara Perak pada Isnin.

Menurut Drs Nizar, peperiksaan Idadi juga mampu melihat potensi pelajar, bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga dalam bidang agama.

“Saya berharap keputusan Idadi dan Thanawi sekolah-sekolah di negeri ini akan terus baik dan meningkat dari tahun ke tahun,” ujarnya.

Bekalan Elektrik Hadiah Deepavali Untuk Enam Keluarga

PARIT: Perayaan Deepavali tahun ini sangat bermakna kepada enam buah keluarga di Kampung Sadang Kem, dekat sini apabila akhirnya rumah yang mereka diami kini dibekalkan dengan bekalan elektrik.

Perkampungan masyarakat India itu yang terletak di tengah-tengah ladang kelapa sawit milik syarikat swasta dikatakan tidak mempunyai kemudahan elektrtik sejak sepuluh tahun lalu.

Menurut salah seorang penduduk, L. Nintianadhan, sebelum ini, mereka hanya menggunakan generator untuk mendapatkan bekalan elektrik.

Bagaimanapun, katanya, penggunaan generator tersebut bukan sahaja memerlukan kos yang tinggi, malah penggunaanya juga terhad untuk masa-masa tertentu sahaja.

“Kebanyakkkan penduduk di situ bekerja sendiri sebagai penternak lembu dan kambing, sudah tentu kos yang tinggi membebankan kami,” katanya ketika ditemui ketika lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri Belanja, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria di kampung tersebut.

Nintianadhan berkata, sebelum ini, mereka tidak boleh mengadakan majlis sambutan perayaan Deepavali kerana sukar untuk memasak juadah kepada tetamu-tetamu yang hadir.

“Sebelum ini takde elektrik, kita tidak boleh beli barang-barang yang cepat rosak macam ayam, jadi kalau ada elektrik, kita ada peti sejuk dan boleh simpanlah,” ujarnya.

Sementara itu, Drs Nizar berkata, isu ketiadaan bekalan elektrik di perkampungan tersebut berpanjangan sejak sepuluh tahun yang lalu kerana ia melibatkan penggunaan tanah milik estet tersebut.

Ujarnya, untuk menyediakan bekalan elektrik, pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) perlu melalui tanah estet tersebut untuk memasang tiang-tiang elektrik daripada jalan besar.

Katanya, setelah beberapa kali perbincangan dibuat bersama-sama pemilik estet tersebut, TNB dan kerajaan negeri, akhirnya kampung tersebut mendapat bekalan elektrik sejak awal Ogos lalu.

“Cabaran adalah dari segi kewangan dan pada masa yang sama kita melalui proses di dalam kawasan estet, ada sedikit kesukaran namun kesukaran itu dapat kita atasi dengan perbincangan-perbincangan yang cukup rapi,” kata beliau.

Tambahnya, dengan kos lebih RM400,000, sebuah pencawang dengan tiang elektrik lengkap dengan lampu jalan telah berjaya dibina di kampung tersebut.

Menurutnya lagi, walaupun sekarang kampung tersebut hanya mempunyai enam buah rumah, namun dengan adanya bekalan elektrik, dijangkakan, lebih banyak rumah akan dibina memandangkan kampung tersebut mempunyai banyak lagi tanah-tanah milik persendirian.

Drs Nizar berkata, selepas ini, pihaknya akan cuba untuk mendapatkan peruntukkan bagi membina jalan masuk yang lebih sempurna dan untuk menyediakan bekalan air bersih.