IPOH: Kerajaan negeri melalui Jabatan Agama Islam Perak dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri telah berjaya melaksanakan pendidikan agama Islam Kelas KAFA Tulen di tiga buah sekolah Orang Asli.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, sekolah-sekolah itu ialah di Pos Bersih, Daerah Muallim dan Pos Kemar serta Pos Banun, kedua-duanya di Daerah Gerik.

Di samping itu, kata beliau, bagi memperkasakan lagi pendidikan Orang Asli yang beragama Islam, kelas-kelas fardhu ain dilaksanakan secara berjadual dua kali seminggu di kawasan pedalaman kampung Orang Asli.

“Kerajaan sedar dan mengakui bahawa penyampaian ajaran Islam yang lebih berkesan adalah dari kalangan Orang Asli sendiri seterusnya dapat memahami ajaran Islam yang sebenar dengan memberi penekanan kepada pendidikan akidah, ibadah dan akhlak secara berterusan,” katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Mohd Zolkafly Harun (BN-Lintang) di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Drs Nizar memberitahu, Sekolah Menengah Agama Rakyat Nurul Hidayah Kampung Orangsli Kenang, Jalong Tinggi merupakan salah satu contoh langkah yang telah diambil oleh kerajaan negeri bagi menyediakan pendidikan arus perdana di samping pendidikan Islam.

Menurutnya, jumlah keseluruhan anak Orang Asli yang mendapat pendidikan arus perdana dan pendidikan Islam ialah 339 orang.

Selain itu, kata beliau, kursus intensif imam dan bilal telah dilaksanakan di Pusat Kegiatan Dakwah Ipoh, khusus untuk belia Orang Asli yang datang dari perkampungan masyarakat tersebut di seluruh negeri.

“Seramai 250 orang belia Orang Asli telah dilatih untuk menjadi imam dan bilal dalam kursus yang merangkumi latihan secara praktikal bacaan solat, terutamanya bacaan Al-Quran di samping menghafaz,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, bagi memperkasakan penghayatan Islam di kalangan masyarakat berkenaan, kerajaan negeri telah menaiktaraf 10 surau diri Jumaat dan sebuah masjid di Kampung Orang Asli Bawong.

Menjawab soalan tambahan wakil yang sama, beliau berkata, tidak kurang 42 kelas fardhu ain telah dijalankan di perkampungan Orang Asli yang diadakan sebanyak dua kali seminggu.