IPOH: Setakat ini terdapat 64 daripada 102 buah sekolah tahfiz di negeri Perak telah berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, 24 masih dalam proses pendaftaran dan 14 masih belum berbuat demikian.

Menurut beliau, daripada 64 yang telah berdaftar, lima adalah Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan (SMTDR) dan 59 buah lagi diusahakan oleh swasta.

“Kerajaan negeri melalui JAIPk telah bekerjasama dengan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri mengadakan pemeriksaan terhadap premis sekolah tahfiz di bawah kerajaan negeri mahupun swasta,” katanya ketika menjawab soalan lisan Abdul Yunus Jamari (PKR-Kuala Kurau) di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Drs Nizar berkata, setakat ini kerajaan negeri masih belum mengambil apa-apa tindakan kepada pengusaha pusat tahfiz swasta dan institusi pondok yang tidak mematuhi tahap keselamatan yang ditetapkan.

Sebaliknya, kata beliau, kerajaan negeri masih memberi peluang kepada mereka dengan membantu dan memberi khidmat nasihat agar mereka mematuhi peraturan keselamatan yang telah ditetapkan.

Beliau menambah, sekiranya pihak pengusaha pusat tahfiz dan pondok berdaftar masih lagi berdegil setelah segala khidmat nasihat diberi, bantuan baik pulih disalurkan, maka ketika itu, atas dasar keselamatan dan kebajikan, barulah sekolah itu diarah menghentikan operasinya mengikut pekeliling yang dikeluarkan.