SERI ISKANDAR:Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Kompleks Pentadbiran Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT) yang baharu bernilai RM9.4 juta di Seri Iskandar di sini hari ini.
Turut berangkat ke majlis tersebut ialah Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa serta Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.
Hadir sama, Menteri Besar Datuk, Seri Dr. Zambry Abd Kadir dan Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah,Datuk Mohd Nizar Zakaria.
Kompleks pentadbiran baharu tersebut yang siap pada tahun 2013 dahulunya beroperasi di Pekan Parit dan berpindah ke kompleks Pentadbiran Daerah Perak Tengah lebih 20 tahun.
Manakala reka bentuk bangunan ini adalah berkonsepkan Green Building iaitu bangunan setinggi dua tingkat yang menempatkan 6 jabatan iaitu Jabatan Khidmat Pengurusan, Jabatan Perbendaharaan, Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta, Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Perbandaran, Jabatan Perancangan Pembangunan dan 3 unit iaitu Unit Pusat Setempat (OSC), Unit Perhubungan Awam dan Unit Undang-undang.
Kompleks ini juga menyediakan dewan mesyuarat yang boleh memuatkan 40 orang dan disertakan kemudahan-kemudahan lain seperti surau, galeri, bilik-bilik mesyuarat dan perbincangan serta kaunter utama dan kaunter pandu lalu.
Nizar semasa menyampaikan ucapan aluan berkata pembinaan kompleks tersebut bukan sahaja memberi keselesaan kepada pekerja tetapi juga untuk kegunaan rakyat yang menggunakan perkhidmatan (MDPT).
MDPT telah memperolehi sijil ekosistem kondusif Sektor Awam (EKSA) sekaligus menjadi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama di Negeri Perak dan kelima di Malaysia memperolehi sijil EKSA tersebut.
“MDPT turut mendapat pengiktirafan daripada Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai penggunaan Bahasa Kebangsaan yang baik dan betul pada papan iklan sempena Bulan Bahasa kebangsaan peringkat Negeri Perak,” katanya.