IPOH:Kerajaan Negeri akan terus memberikan sokongan bagi penganjuran Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk tahun hadapan.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selama tiga hari yang berakhir di sini hari ini boleh diangkat menjadi program bertaraf antarabangsa.
“Tahun ini muzakarah ini diangkat diperingkat nusantara dan mungkin tahun akan datang peringkat antarabangsa dengan melibatkan pembentang yang lebih ramai lagi membicarakan tajuk besar.
“Muzakarah Sultan Nazrin Shah baru sahaja berakhir dan saya mengucapkan tahniah kepada pihak panita yang dipengerusi Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria atas usaha penganjuran muzakarah yang begitu baik sekali melibatkan semua pihak termasuk juga menyaksikan perbincangan bertajuk ‘Kepimpinan dan Kekhalifahan, Gagasan Konstruktif Ulama dan Umara’ telah dapat menarik golongan bukan Islam termasuk juga pembentangan daripada profesor bukan beragama Islam untuk memberi gambaran keseluruhan tentang tajuk yang kita bincangkan,” katanya kepada media selepas merasmikan majlis penutup program Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang berlangsung di Pusat Konvensyen Aman Jaya, Casuarina@Meru, hari ini.
Turut berlangsung penyerahan sembilan resolusi muzakarah daripada tujuh pembentangan kertas kerja antaranya, memperingatkan para umara dan ulama supaya sentiasa bersama dan bersatu memainkan peranan penting dalam mebangunkan ummah, memperkasakan kesatuan ummah Islam yang lebih bersifat global dan Muzakarah disaran mencontohi tujuh formula pembangunan al-Fatih bagi mengembalikan keagungan dan kegemilangan umat.
Katanya, muzakarah tersebut tidak hanya tertumpu kepada perbincangan satu persoalan berkaitan hukum tetapi lebih melibatkan aspek keseluruhannya.
“Titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, semalam beri gambaran begitu baik mengenai impian baginda untuk melihat hubungan ulama, umara serta peranan oleh seorang ulama dan peranan umara telah membuka minda dan perspektif banyak pihak.
“Begitu juga ucapan oleh Mufti mengenai nasihatnya terhadap seorang raja pemerintah, erti kata yang lain bagaimana kedua-dua hubungan perlu dijalinkan dengan keadaan yang baik iaitu sentiasa nasihat menasihati untuk kebaikan bukan untuk keburukan,” katanya lagi.
Kata Zambry pandangn Mufti akan diambil perhatian bagi memastikan muzakarah ini dapat teruskan dengan mengambil tajuk yang berbeza.
Sementara itu Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria berkata setakat ini hubungan diantara pihak Istana dan ulama adalah baik dan menjadi tanggungjawab Jabatan Mufti memberi pandangan dan nasihat berkaitan hal Agama Islam kepada pihak raja-raja.
“Setiap negeri ada majlis agama dan jabatan mufti sentiasa berhubungan dengan pihak raja malah menjadi tugas utama jabatan Mufti memberi nasihat pada raja mengenai hal agama dan nasihat termasuk juga kepada kerajaan.