POH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah agar umat Islam menjadikan hibah sebagai amalan dalam menyelesaikan pertikaian berkaitan harta pusaka.

Titah baginda, majoriti umat Islam bukan sahaja kurang memberi perhatian, malah kurang pengetahuan tentang urusan pembahagian harta pusaka sehingga mengakibatkan harta yang ditinggalkan mencetuskan masalah setelah pemilik harta meninggal dunia. 

“Selain daripada hukum faraid, hibah ialah satu kaedah yang boleh digunakan untuk mengatasi masalah pembahagian harta.

“Hibah merupakan salah satu cabang muamalat, ‘akad tabaruk’ antara dua pihak, ia itu, proses memindah milik sesuatu harta tanpa sebarang balasan;  merupakan satu pemberian kepada seseorang untuk memuliakannya dengan sesuatu tujuan.

“Harta yang dihibah, dapat dijana dengan lebih pantas berbanding harta yang ditinggalkan berbentuk pusaka.  Islam menggalakkan amalan hibah, terutama kepada anggota keluarga terdekat,” titah baginda di Majlis Pelancaran Gerakan Kesedaran Hibah Peringkat Negeri Perak, disini, hari ini.

Baginda bertitah, Gerakan Kesedaran Hibah yang dilancarkan akan dilaksanakan di seluruh negeri Perak bagi memenuhi lima matlamat utama iaitu memperkenal dan menyedarkan umat Islam mengenai hibah.

Selain itu, ia juga boleh menghindar atau meminimumkan umat Islam daripada menghadapi masalah agihan harta pusaka selepas kematian pemilik harta.

“Malah, gerakan ini akan membantu agar harta pusaka dapat diagih dengan cepat dan tepat supaya boleh segera digunakan oleh penerima untuk menjana kegiatan ekonomi.

“Membimbing dan menggalakkan umat Islam melakukan hibah ketika masih hidup.

“Membantu memperkenal platform mengenai urusan menyediakan dokumen hibah melalui perkhidmatan profesional.

Titah baginda lagi, usaha memberi penerangan memperkenalkan hibah, hendaklah diperluaskan ke semua daerah dan jajahan di negeri Perak, hingga sampai ke mukim dan kampung, dilakukan secara berterusan dan berkesinambungan.

Selain itu, Gerakan menyedarkan dan memperkenalkan ummah mengenai hibah hendaklah disambut oleh semua  masjid, surau, pelbagai institusi latihan serta badan-badan bukan  kerajaan dan pertubuhan sukarela.

“Makluman mengenai hibah boleh diuar-uarkan secara lebih luas dengan memperkenalkan slot pendidikan dan soal jawab mengenai hibah di dalam program-program ‘Perak fm’.