IPOH: Maahad tahfiz di negeri Perak yang belum berdaftar diminta berbuat demikian selewat-lewatnya Januari depan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, program pemutihan itu dilakukan selama enam bulan sejak Ogos lalu.

Menurut beliau, setakat ini 53 buah tahfiz telah berdaftar, 20 lagi masih dalam proses manakala 33 lagi belum berdaftar.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pihak pengurusan tahfiz berkenaan supaya segera mendaftar demi untuk memudahkan langkah-langkah penambahbaikan.

“Kita tidak pernah hendak sekat atau tutup mana-mana yang tidak daftar walaupun ia dibolehkan oleh undang-undang kerana kerajaan sedar kepentingan tahfiz untuk melahirkan modal insan yang berilmu dan beramal.

“Kita tak mahu kacaupun, cuma kita mahu mendaftarkannya untuk kebaikan sahaja, oleh itu tolonglah bersangka baik,” katanya kepada Suara Perak selepas merasmikan Kursus Pengurusan Tahfiz & Pondok di Hotel Seri Malaysia di sini pada Isnin.

Hadir sama Ketua Penolong Pangarah Bahagian Pendidikan, Jabatan Agama Islan Perak (JAIPk), Mohamad Nasar Kurdi.

Selain 106 maahad tahfiz, terdapat 13 pondok di Perak yang telah berdaftar, kebanyakkan melibatkan warga emas.

Drs Nizar turut meminta pihak pengurusan tahfiz memberi kerjasama kepada semua pihak yang terlibat dalam peruntukan bajet RM50 juta untuk penyelenggaraan pendawaian di tempat masing-masing.
Bajet tersebut yang disalurkan melalui Giatmara telah diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2018 baru-baru ini.

Sementara itu, Mohamad Nasar pula berharap pihak pengurusan tahfiz yang telah berdaftar dapat membimbing tahfiz yang belum berdaftar untuk berbuat demikian.