IPOH: Seramai 1,069 calon sekolah menengah agama dan maahad tahfiz di negeri ini menduduki peperiksaan Idadi manakala 2,360 lagi menduduki peperiksaan Thanawi yang dijalankan serentak mulai hari ini.

Calon-calon peperiksaan Idadi adalah dari 26 sekolah iaitu tiga buah adalah Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN), lima Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan (SMTDR) lima Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) dan tiga maahad tahfiz.

Calon-calon peperiksaan Thanawi pula daripada tiga buah SMAN, empat SMTDR, 23 SABK, 14 SMAR dan tiga maahad tahfiz.

Peperiksaan Idadi adalah untuk pelajar tingkatan dua manakala Thanawi pula untuk tingkatan empat.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, peperiksaan itu adalah kelebihan untuk pelajar sekolah agama, yang sama penting dengan peperiksaan lain.

“Sijil peperiksaan ini sama penting dengan sijil peperiksaan lain untuk mereka melanjutkan pelajaran, khususnya ke negara-negara Timur Tengah seperti Mesir dan Jordan,” katanya kepada Suara Perak pada Isnin.

Menurut Drs Nizar, peperiksaan Idadi juga mampu melihat potensi pelajar, bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga dalam bidang agama.

“Saya berharap keputusan Idadi dan Thanawi sekolah-sekolah di negeri ini akan terus baik dan meningkat dari tahun ke tahun,” ujarnya.