IPOH: Penjawat awam di negeri ini dinasihatkan supaya menjaga intergriti kerana mereka adalah wakil kerajaan yang melaksanakan segala polisi dan dasar yang diputuskan kerajaan.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, rakyat akan menilai perkhidmatan mereka yang turut memberi kesan kepada kerajaan.

Menurut beliau, sekiranya rakyat berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan penjawat awam, sudah tentu secara tidak langsung memberi implikasi politif kepada kerajaan.

Dalam masa sama, kata beliau, penjawat awam juga mesti bersedia mengikuti perubahan yang diperkenalkan kerajaan di dalam sektor perkhidmatan dari semasa ke semasa.

“Kita mesti bersikap positif dan sentiasa bersyukur dengan apa yang dinikmati, kalau kita bersyukur, insya Allah, kita akan mendapat lebih lagi,” katanya kepada Suara Perak selepas merasmikan penutup taklimat pembangunan organisasi kesatuan-kesatuan di bawah gabungan CUEPACS di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi CUEPAS Negeri Perak yang juga Timbalan Presiden II CUEPACS Kebangsaan, Zainal Ismail.

Drs Nizar berkata, sekarang ini, banyak insentif dan kemudahan yang diberikan oleh kerajaan untuk penjawat awam seperti skim gaji yang baik, elaun, cuti dan pelbagai insentif yang sentiasa diperbaiki dari semasa ke semasa.

Sehubungan itu, katanya, mereka perlu terus mengamalkan disiplin, etika kerja yang baik dan mempunyai iltizam untuk bekerja lebih kuat.

“Dalam kehidupan ini, kita ada pelbagai masalah dan kita perlu bijak menguruskannya. Setiap orang ada cabaran dan masalah yang berbeza-beza, laksanakan tugas masing-masing dengan baik,” ujarnya.