PARIT – Peruntukan sebanyak RM2.7 juta bakal diagihkan bagi program pembangunan pekebun kecil getah di daerah Perak Tengah/Kinta bagi tahun ini.
Pegawai Risda Daerah Perak Tengah/Kinta Mohd Saidi Mustapha berkata, peruntukan itu melibatkan pelbagai bantuan termasuklah bantuan tanam semula, bantuan baja, bantuan cuka getah dan bahan ransangan getah.
Menurutnya, di Perak Tengah terdapat seramai 3,912 pekebun kecil getah dengan keluasan 6,346 hektar kebun getah.
“Kita ada pelbagai bantuan bagi meningkatkan hasil pendapatan pekebun kecil getah di daerah ini termasuklah bantuan tanam semula, bantuan baja, bantuan cuka getah dan sebagainya.
“Bantuan-bantuan ini akan diberikan secara berperingkat hingga menjelang hujung tahun nanti,” katanya ketika majlis perasmian depo belian getah di Kampung Changkat Banjar baru-baru ini.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Adun Belanja yang juga Exco Kerajaan negeri, Datuk Mohd Nizar Zakaria.
Sementara itu, Mohd Nizar berkata, kerajaan menyediakan pelbagai bantuan bagi meringankan beban penduduk selain membantu meningkatkan hasil pendapatan.
“Dari segi pekebun kecil getah sendiri terdapat pelbagai bantuan termasuklah bantuan RM200 kepada pekebun kecil getah, bantuan tanam semula dan sebagainya.
“Kerajaan juga turut membantu dari segi penyediaan depo belian getah ini bagi memudahkan penduduk menjual hasil getah mereka,” katanya.
Menurutnya, selain mengharapkan bantuan, rakyat juga harus berusaha untuk mengubah kehidupan mereka supaya menjadi lebih baik.