PARIT: Langkah Barisan Nasional (BN) meletakkan tiga calon muda di bawah umur 50 tahun di Parit, dikatakan sesuai dengan harapan dan aspirasi anak muda di kawasan tersebut.
Calon Parlimen, Datuk Mohd Nizar Zakaria, 49, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Belanja, Khairudin Abu Hanipah, 46 dan calon DUN Bota, Khairul Shahril Mohamed , 45, diyakini mampu meningkatkan lagi pembangunan Parit.
Ketiga-tiga calon itu juga mempunyai nama gelaran masing-masing oleh masyarakat setempat di mana Nizar lebih dikenali dengan Ustaz Nizar, manakala Khairudin sebagai Cikgu Din dan Khairul sebagai KP Shahril.
Dalam masa sama, beberapa anak muda yang ditemui juga yakin, ketiga-tiga calon itu telah mendapat tunjuk ajar yang sangat berguna daripada pemimpin terdahulu seperti bekas Ahli Parlimen, Datuk Mohd Zaim Abu Hassan dan bekas ADUN Bota, Datuk Nasarudin Hashim.
Mereka berharap, calon-calon itu juga akan turut melaksanakan pelbagai program untuk memenuhi citarasa anak muda masa kini.
Shamsul Azhar, 39, dari Padang Changkat berkata, anak muda di Parit semakin meminati aktiviti sukan lasak seperti motocross, berkayak dan ekspedisi meredah hutan.
Dia yang mula berkecimpung di dalam sukan trialbike sejak enam tahun lalu, yakin Nizar, Cikgu Din dan KP Shahril lebih memahami citarasa anak muda sekarang kerana mereka sudah merasainya.
“Alhamdulillah, Perak Tengah telah mempunyai tiga trek pertandingan motocross dan satu trek untuk latihan. Saya harap sukan lasak ini dapat diperkenalkan lagi di daerah ini,” katanya ketika ditemui di litar Kem Kota, Tanjung Medan dekat sini, baru-baru ini.
Mohd Khairul Shima Mohd Shah, 34, dari Titi Gantung pula berharap, bakal wakil rakyat di Parit dapat mendengar suara anak muda sepertinya.
“Setakat ini, kami memang mengenali ketiga-tiga calon BN dan mereka sentiasa memberi sokongan terhadap aktiviti yang kami lakukan,” ujarnya.
Bagi Amir Zarifuddin, 20, pula, bakal pemimpin mesti bersedia untuk menganjurkan pelbagai program yang melibatkan anak-anak muda supaya mereka tidak terlibat dengan aktiviti yang tidak berfaedah.
“Saya nampak, sukan lasak seperti motocross ini boleh pergi jauh dan boleh membentuk disiplin anak muda seperti saya,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Kelab Motocross Perak Tengah dan Aura Seven Racing Team, Fairuddin Rastam berkata, setakat ini kelab tersebut mempunyai lebih 200 ahli yang turut menawarkan latihan ntuk kanak-kanak yang berumur seawall lima tahun.
“Sukan ini mampu menarik minat generasi muda dan berdasarkan pengalaman saya lebih 10 tahun, sukan ini juga, mampu membentuk disiplin anak muda dan mengelakkan mereka melakukan perkara yang tidak berfaedah,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau yakin, calon-calon BN di Parit, khususnya Ustaz Nizar, mampu membantu merealisasikan harapan anak muda, khususnya mereka yang meminati sukan lasak.