10:00 AM – Ramah Mesra dan Ziarah Sekitar DUN Belanja.
Keratan Akhbar / Portal / BERNAMA
Program Tunas Mekar Lahir 84 Graduan Zon Utara
Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Khas Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri Datuk Zolkapli Dahalan berkata program itu berkonsep perkongsian pintar antara pengusaha, graduan dan pensyarah UiTM melalui penempatan graduan bersama pengusaha bagi tempoh enam bulan dengan bimbingan pensyarah.
“Matlamat program adalah untuk mendidik graduan usahawan yang berdaya saing dan membantu mereka untuk membuat persediaan sebelum menceburkan diri dalam bidang keusahawanan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Graduasi Usahawan Perantis Muda Program Tunas Mekar UiTM di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan Khamis.
Beliau berkata sebanyak RM16,000 diperuntuk kepada setiap peserta dan sejumlah 1,636 orang terlibat dalam siri pertama hingga kelima.
“Program ini juga telah berjaya melahirkan 819 atau 63.2 peratus peserta dalam bidang keusahawanan iaitu dari siri pertama hingga kelima,” katanya.
Zolkapli juga berharap graduan yang berjaya dalam bidang keusahawanan sedia membantu mereka yang tidak bernasib baik dan yang baru menceburi bidang itu.
Pada majlis itu empat pelajar terpilih sebagai graduan terbaik program.
Mereka ialah Atiqah Nazaruddin (Graduan Diploma Perakaunan dari Perak), Abdullah Kamil Noordin (Graduan Diploma Kejuruteraan Elektrik Mekatronik dari Kedah); Noorul Shahida Ramli (Diploma Kejururawatan dari Pulau Pinang) dan Ahmad Eizamil Rodzari (Diploma Sains Komputer dari Perlis).
Program yang diilhamkan bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi yang bermula pada 2005 itu berjaya melahirkan ramai graduan bergelar usahawan.
— BERNAMA