IPOH: Kerjasama strategik bersama Institut Darul Ridzuan (IDR) dalam merangka dan memperkenalkan garis panduan kebersihan tandas daripada SIRIM telah dilaksanakan di semua masjid di Perak.
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, setakat ini garis panduan itu telah dilancarkan semasa program Permukiman Daerah Menteri Besar Perak.
Menurutnya, Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) turut menubuhkan pasukan CSR Hammam di peringkat jabatan, Sekolah Menengah Agama Negeri, Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan (SMTDR) dan daerah.
“Sesi penerangan telah dilaksanakan di setiap daerah pada tahun 2016 manakala bagi pasukan CSR itu, ia melibatkan rakan belia masjid selain jawatankuasa kariah masjid turut disarankan untuk memainkan peranan bersih serta ceriakan tandas masjid,” katanya ketika menjawab soalan lisan Salbiah Mohamed (BN-Temengor) di Sidang DUN pada Selasa.
Sementara itu, kata Drs Nizar, kerajaan negeri turut menyambut baik usaha Ahli Parlimen Gerik yang telah menganjurkan pertandingan Tandas Bersih, Menarik, Wangi (BMW).
Johan bagi kategori ini akan menerima sumbangan sebanyak RM 50,000, Naib Johan RM 30,000 manakala tempat ke-3 RM 20,000.
Di samping itu saguhati pula menerima RM 1,000 dan keputusan pertandingan akan diumumkan pada Mei 2017.