IPOH: Kerajaan negeri memandang serius dalam isu penularan ajaran sesat dan sentiasa mengambil langkah proaktif menanganinya sebelum ianya merosakkan akidah umat Islam secara khususnya.
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah Negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata demikian untuk menjawab soalan Abu Bakar Hussain (PAS – Titi Serong) di dalam Sidang DUN ke-13 yang prihatin isu berkenaan.
Menurut Drs Nizar, kerajaan negeri meletakkan keutamaan kepada sebarang laporan yang melibatkan pegangan aqidah umat Islam di seluruh negeri , antaranya dengan melaksanakan kajian dan penelitian terhadap perkembangan ajaran yang diragui.
“Antara aktiviti yang dilaksanakan dalam menangani ajaran sesat adalah dengan mengadakan 30 sesi penerangan di sekolah-sekolah di seluruh masjid Negeri Perak serta pelbagai seminar berkaitan aqidah sohihah yang dilaksanakan secara berkala turut diadakan di IPTA/IPTS.
“Secara rutinnya pada sepanjang tahun, peringatan dan pendedahan melalui medium khutbah jumaat turut dilaksanakan kepada para jemaah, di mana fokus pengisian sesi penerangan dan seminar adalah berkisar tentang isu-isu akidah semasa dan pemantapan pemahaman Aqidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang menjadi teras pegangan umat Islam,” katanya ketika menggulung perbahasan semasa Sidang DUN pada Isnin.
Drs Nizar memberitahi, satu pasukan khas yang terlatih juga diwujudkan bagi memberikan pemahaman yang lebih jelas mengenai Akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah di samping turut berperanan memberikan penjelasan berhubung isu-isu penyelewengan akidah di seluruh negeri.
Katanya, pihak kerajaan negeri melalui JAIPk turut mengedarkan bahan bercetak seperti risalah ke sekolah-sekolah, masjid-masjid dan lokasi-lokasi tumpuan masyarakat dan antara contoh bahan risalah yang diedarkan termasuklah “Kenapa Syiah Ditolak”, “58 Ciri Ajaran Sesat Di Malaysia” dan “Akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah”.
“Untuk pengetahuan semua, pihak JAIPk adalah sebuah agensi khusus yang komited menangani dan memantau sebarang laporan yang akan merosakkan serta memesongkan akidah umat Islam, termasuk memantau ajaran yang meragukan di negeri Perak malah sentiasa mendapat kerjasama yang baik daripada agensi kerajaan yang lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menguatkuasakan kesalahan-kesalahan akidah di negeri Perak.
“Justeru itu, sebarang usaha bersepadu dari semua pihak tanpa mengira latar belakang untuk sama-sama memikul tanggungjawab ini adalah amat dialu-alukan,” ujarnya.