IPOH:Sebanyak 2,500 bekas bubur lambuk diagihkan kepada warga kerja Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak termasuk juga 17 jabatan-jabatan dibawah kerajaan negeri.

Majlis penyampaian bubur lambuk tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bertempat di Dewan Serbaguna Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini.

Zambry dalam ucapan ringkasnya berkata, agihan bubur lambuk adalah satu acara yang rutin bagaimanapun semangat perpaduan dan kesatuan yang ditunjukkan para peserta adalah lebih penting.

“Kita biasa melihat orang memasak bubur lambuk tetapi semangat kerjasama dan kesatuan itu yang perlu dilihat,”katanya.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan dan Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah,Datuk Mohd Nizar Zakaria.

Terdahulu, kakitangan SUK telah bergotong-royong seawal jam 8 pagi bagi sesi memasak sebanyak 10 periuk bubur lambuk di perkarangan tempat letak kereta bangunan SUK hari ini.

Antara jabatan yang menerima agihan bubur lambuk kali ini seperti Jabatan Agama Islam Perak, Lembaga Air Perak, Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak serta Tourism Perak.