IPOH: Seramai 2,000 orang belia dari pelbagai persatuan belia islam, kariah masjid serta siswa dan siswi islam seluruh Perak menghadiri Ijtimak Belia Masjid, Peringkat Negeri Perak 2017 pada Isnin.
Program ini bertujuan untuk mendekatkan golongan berkenaan dengan masjid selain memperkasakan anak muda khususnya di Perak.
Dengan berkonsepkan ijtimak tabligh, para belia ini telah berkampung di perkarangan Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak sejak Ahad lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang turut serta dalam program itu turut menyatakan rasa kagumnya terhadap semangat anak-anak muda yang hadir pada majlis ini walaupun terpaksa bermalam dan tidur dalam keadaan yang kurang selesa.
“Saya sangat mengkaggumi dan berinspirasi dengan semangat anda semua yang sanggup hadir ke program dua hari ini walaupun terpaksa tidur beramai-ramai dalam keadaan yang kurang selesa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program ini.
Pada masa sama, turut diselitkan dengan sesi dialog TN50, Belia Masjid Ke Arah TN50, dimana ia dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria dan Menteri Besar sendiri hadir sebagai panel.
Pada majlis berkenaan, Zambry turut menyampaikan anugerah Tokoh Belia Masjid Peringkat Negeri Perak 2017 kepada Muhammad Taufiq Abdul Mutalib.
Pemuda berusia 25 tahun itu juga merupakan Timbalan Pengerusi Sahabat Masjid Daerah Manjung.
Beliau berkata antara pendekatan dan usaha yang diambil beliau dalam memperkasakan nilai-nilai islam dalam kalangan belia ialah dengan mengadakan program-program anak muda yang bercirikan islamik.
“Kita tahu anak muda sukakan sukan futsal, jadi kita buat pertandingan futsal belia diperingkat Manjung.
Pada masa sama, kita buat slot solat berjemaah di dalam gelanggang futsal itu sendiri.”
“Selain itu juga kita tetapkan dalam pertandingan itu semua peserta harus menutup aurat.”, katanya.
Ijtimak Belia Masjid ini merupakan anjuran Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan Yayasan Kemajuan Islam Darul Ridzuan (KADIR).