Pembinaan satu tali air bagi menampung aliran air yang banyak diyakini dapat mengatasi masalah banjir yang kerap melanda Kampung Parit 6.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, satu perbincangan diadakan di antara pegawai daerah, RISDA serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi membantu menangani masalah itu.
Menurutnya, sebelum ini satu tali air telah dibina dengan peruntukan sebanyak RM1.5 juta yang dapat menyelakkan banjir sejak tiga tahun kebelakangan ini.
“Bagaimanapun tahun ini banjir berlaku disebabkan taburan hujan tinggi dan kawasan ini agak berlembah, menyebabkan aliran air dari Risda Bukit Kota terus mengalir ke sini seterusnya menyebabkan banjir,” katanya.
Beliau berkata, tali air kedua memang diperlukan bagi mengelakkan tali air sedia ada pecah dan memenuhi kawasan penempatan penduduk.
“Jadi kita harap setiap pihak terlibat boleh memberikan kerjasama dalam perkara ini supaya masalah banjir dapat diatasi,” ujarnya.
Dalam pada itu, kesemua mangsa banjir di Kampung Parit 6, di sini sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing setelah kerja pembersihan selesai, pada Selasa.
Pelbagai pihak terlibat dalam kerja-kerja pembersihan itu termasuklah anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Rela, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Parit, penduduk kampung serta beberapa agensi lain.