IPOH: Kerajaan negeri Perak sedia menimbang permintaan untuk mewujudkan pakej poligami secara Jama’e bagi memudahkan pasangan umat Islam mendapatkan kebenaran berkahwin tanpa perlu pergi ke luar negara.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Datuk Drs Nizar Zakaria, kerajaan sebenarnya tidak ada sekatan atau menghalang untuk mengadakan pakej poligami secara Jama’e ini tetapi perlulah mengukut undang-undang yang telah sedia ada.
“Kita sedia maklum di negeri ini ada Enakmen Keluarga Islam Perak 2004 dan ada prosedur-prosedur tertentu untuk kita perlu patuhi,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Ipoh pada Isnin.
Beliau menjawab soalan tambahan Haji Abu Bakar Hussain (PAS-Titi Serong) yang mencadangkan supaya diadakan pakej poligami secara Jama’e bagi memudahkan pasangan umat Islam mendapatkan kebenaran berkahwin tanpa perlu berkahwin di negara jiran seperti di Thailand.
Menurut Nizar, antara punca contohnya dari segi poligami seperti pergi bernikah ke Thailand dan sebagainya adalah kerana wali tidak bersetuju.
“Tetapi di Perak kerajaan negeri sentiasa berurusan dengan negara luar contohnya di Thailand kita ada beberapa persefahaman khususnya yang melibatkan perkahwinan ini.’’ Katanya.
Terdahulu semasa menjawab soalan Mohammad Daud Mohd Yusoff (BN-Selama) katanya, Program Majlis Nikah Jamiah Syarie ini nikah beramai-beramai telah dijadikan satu program tahunan kerajaan negeri yang dilakukan pada setiap 16 September sempena Hari Malaysia.
Katanya, bermula secara kecil-kecilan pada tahun 2013 yang diadakan di Masjid Sultan Idris Shad 11 dengan penyertaan 10 pasangan sahaja dan pada tahun 2014 seramai 38 pasangan telah diraikan sebagai `Raja Sehari’ secara serentak di Masjid Negeri Ipoh dan majlis resepsi dilangsungkan di Dewan Bandaraya Ipoh.
Nizar berkata, pada tahun 2015 seramai 60 pasangan telah diijabkabulkan serentak di Majlis Sultan Azlan Shah Ipoh manakala majlis resepsi telah diadakan di Amanjaya Convention Centre Casuaria @ Meru.
“Pada tahun 2016 baru-baru ini majlis nikah Jama’e Syarie telah diadakan di Masjid Sultan Yusof Izuddin Shah di Seri Iskandar dengan penyertaan seramai 42 pasangan dan majlis resepsit diadakan di Dewan Seri Iskandar,’’ katanya.
Menurut beliau, pada keseluruhannya untuk tempoh empat tahun seramai 150 pasangan telah mengikuti majlis nikah Jama’e Syarie di Perak.
Beliau menjelaskan antara tujuan diadakan program ini adalah untuk meringankan beban kewangan pasangan dan keluarga penganting dalam mengendalikan urusan perkahwinan.