Pelancaran modul itu disempurnakan bersempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Islam Tahun 2017 yang diadakan di Dewan Saidina Abu Bakar, Institut Tadbiran Islam Perak (Intim) di sini hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim serta diiringi oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Mohd Nizar Zakaria; Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd. Yusop Husin.

Pada majlis tersebut, Sultan Nazrin turut berkenan menyampaikan 27 anugerah kecemerlangan kepada para pelajar dan pendidik serta Sijil Pengajian Masjid Negeri Perak yang julung kalinya dianugerahkan kepada 38 peserta kumpulan pertama.

Kerajaan negeri juga memberikan penghargaan kepada 25 hafiz muda daripada beberapa maahad tahfiz yang telah menghafaz al-Quran sebanyak 30 juzuk. 

Sementara itu, Mohd. Yusop ketika ditemui pemberita berkata, pihaknya mengambil masa selama dua tahun untuk membangunkan modul pengajian masjid dan surau secara lebih bersistem dengan merangkumi kandungan seperti fikah, sirah, tauhid dan akhlak.

“Sebelum ini tiada sukatan khusus diajarkan di masjid dan surau kerana ia berlangsung secara umum, jadi kita melakukan transformasi dengan menyediakan suatu modul diperakui mufti yang perlu dihabiskan.

“Oleh itu, sebanyak 386 guru takmir di masjid dan surau seluruh negeri ini akan dilatih untuk mengajarkan modul ini secepat mungkin dengan menggunakan peralatan audio visual dan pemacu pena,” katanya. – UTUSAN ONLINE