Gulai masak taucu, ikan patin masak tempoyak, loghat anak Perak sejati, bazaar tertua di Perak, bangunan serba antik, semuanya di Parit.
Dalam meniti hiruk-pikuk bandar yang bingit di Ipoh, Peraknews berkesempatan menyertai program selama dua hari di kawasan luar bandar yang telah membuka mata mengenai keakraban masyarakat perkampungan yang amat unik itu.
‘Moh Ler ke Parlimen Parit’ – merupakan program yang disusun rapi dengan mengetengahkan aktiviti bersifat komuniti seperti ceramah keibubapaan oleh barisan penceramah ternama tanah air, senam robik yang disertai ratusan penduduk tempatan, malah pertandingan memasak gulai taucu daging yang jarang didengari umum.
Kedengaran agak ringkas, namun hakikatnya tinjauan mendapati masyarakat di Parit amat menggemari program yang membolehkan mereka berkumpul dengan jiran tetangga serta sahabat dari kampung-kampung sekitar.
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, program berteraskan penyatuan komuniti daripada pelbagai lapisan itu yang merupakan kerjasama di antara kerajaan negeri, Pusat Khidmat ADUN Belanja serta PerakFm, berjaya mendapat sambutan yang amat memberangsangkan.
Beliau yang juga ADUN Belanja berkata, lebih daripada 5,000 peserta menyertai program yang padat dipenuhi aktiviti ilmiah serta kesukanan, malah riadah itu dan menampakkan semangat kekitaan yang wajar dicontohi oleh daerah lain di sekitar negeri Perak.
“Terlalu banyak aktiviti yang diadakan yang bertujuan untuk meningkatkan semangat ukhuwah di kalangan masyarakat setempat dari Bota, Layang Kanan, Belanja, Tanjung Belanja, Lambor dan sekitar Parit ini.
“Antara aktiviti utama adalah Forum Perdana Keagamaan, pelepasan 6,000 anak ikan Tilapia Merah ke sangkar ikan encik Jamil Ahmad di Kg Ekor Lambat, pameran pelbagai agensi dan pertandingan-pertandingan mewarna, memasak, gubahan dan banyak lagi.
“Kita cungkil bakat terpendam orang-orang kampung, kita buat mereka seronok bersama dengan rakan-rakan dan kita kumpulkan kesemuanya dalam program yang sebenarnya merupakan satu kerjasama National Blue Ocean Strategy (NBOS ) di antara PerakFm dan agensi terlibat,” kata beliau.
Jelasnya, program itu dilihat merupakan satu kolaborasi bersepadu yang wajar diteruskan pada tahun-tahun akan datang dengan harapan lebih banyak agensi akan turut serta dan menyokong perlaksanaan tersebut.
Sementara itu, Ketua Bahagian Rancangan PerakFm merangkap penyelaras program, Fauzi Ramli berkata, pihaknya memilih Parit sebagai lokasi utama berikutan keunikan tersendiri yang dimilik oleh daerah tersebut.
“Di sini ada Sungai Perak, dah tentulah masakan gulai, resepi ikannya memang asli, loghat Perak yang amat menarik, antara penempatan masyarakat Melayu terawal, malah kerjasama yang diberikan oleh komuniti adalah amat memberangsangkan.
“Harapan kami, daerah-daerah lain dapat merujuk kepada kami agar kami dapat datang dan menganjurkan pula aktiviti sebegini di kawasan mereka agar semua pihak dapat saling bertukar tukar idea dan pendapat dan mengeratkan hubungan jalinan mesra di antara agensi serta komuniti setempat,” katanya lagi.