LUMUT 22 Sept. – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, Maal Hijrah hendaklah disambut dengan hati serta hasrat mahu menghidupkan kembali tiga prinsip utama yang telah memainkan peranan sangat penting dalam pembangunan pemerintahan gemilang oleh Rasulullah SAW di Madinah.
Baginda bertitah, tiga prinsip itu merangkumi jiwa merdeka, budaya syura dan semangat jihad; hasil penghijrahan yang telah mencipta satu tamadun dan perkembangan Islam selain daripada rasa cinta kepada Ilahi dengan berakarkan iman dan takwa yang kukuh.
Titah baginda, teras jiwa merdeka yang bukan sahaja membebaskan roh, minda serta penghambaan kepada manusia lain dan politeisme, membolehkan umat Islam mengabdikan diri hanya kepada Allah dengan melakukan amar maaruf dan menjauhi kemungkaran.
“Islam tidak akan berkembang jika ummahnya berjiwa hamba, berminda abdi, berfikiran fakir dan berpandangan jumud. Islam berkembang dengan minda yang cerdas lagi cergas dan fikiran yang luas lagi terbuka.
“Kejayaan gemilang negara Islam Madinah berlaku melalui budaya syura iaitu budaya perundingan dan konsultasi yang digalakkan di kalangan ummah. Budaya yang memberikan pertimbangan kepada kepelbagaian pandangan berbeza serta budaya yang bersedia menerima teguran dan kritikan,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan merasmikan sambutan Maal Hijrah peringkat negeri Tahun 1439 Hijrah/2017 Masihi yang diadakan di Dewan Shariff, Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE