LUMUT: Berkata benar biarpun pahit menjadi prinsip Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dalam menjalankan tugas.

Harussani, 78, yang dipilih sebagai Tokoh Ar-Ridzuan sempena sambutan Maal Hijrah 1439/2017 peringkat negeri ini hari ini, berkata sepanjang 32 tahun menjadi mufti, prinsip itu terus menjadi pegangannya.

Dilantik sebagai Mufti Perak pada 1985 sehingga kini, beliau bersyukur dengan anugerah dan pengiktirafan yang diberikan.

“Saya anggap ini (anugerah) ujian daripada Allah sejauh mana saya dapat bertahan sebagai seorang Muslim sejati.

“Adakah saya akan menjadi seorang yang sombong? Itu perkara yang menakutkan saya sehingga setiap kali menerima sebarang anugerah pasti saya akan mengalirkan air mata,” katanya ketika ditemui.

Katanya, sebagai pendakwah dan pemimpin agama, beliau turut mengingatkan dirinya dan orang lain supaya bercakap benar serta memberikan idea yang jujur.

Sementara itu, bekas Ketua Hakim Syarie Perak, Datuk Abdul Aziz Mohd Yusuf yang dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Perak, berkata beliau berpegang pada prinsip sentiasa amanah, tegas dan berdedikasi dalam menjalankan tugas.

Katanya, semua pekerja terutama penjawat awam perlu turut mengamalkan sifat sama dalam memastikan tugas dan kerja yang diamanahkan berjalan dengan sempurna.

“Kita perlu mempunyai sifat bertanggungjawab, berdedikasi serta tegas dalam melakukan tugas. Walaupun tegas, kita kena prihatin terhadap pekerja bawahan.

“Sifat itu perlu ada pada setiap pemimpin,” katanya yang kini menganggotai Panel Rayuan Mahkamah Syariah Perak serta anggota Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).