SUNGAI SIPUT: Kerajaan negeri Perak telah membelanjakan lebih RM80 juta untuk menyediakan kemudahan infrastruktur seperti jalan raya yang lebih selesa kepada 5,000 penduduk di kawasan penempatan Orang Asli di Parlimen Sungai Siput.
Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, kerajaan berpendapat kemudahan jalan raya amat penting di kawasan penempatan itu kerana ia dapat membantu mengubah kehidupan masyarakat Orang Asli menjadi lebih baik.
Beliau berkata, kerajaan sedang menyediakan kemudahan jalan raya yang bermula dari pekan Sungai Siput ke kawasan penempatan Orang Asli di Pos Legap dan Pos Kuala Mu yang menelan kos RM14 juta.
“Kerja-kerja pembinaan jalan raya dari pekan Sungai Siput ke Pos Legap ini akan bermula Ogos depan,’’ katanya kepada pemberita di Program Kembara Ummah XPDC bersama Masyarakat Orang Asli di Perkampungan Orang Asli Kuala Mu, Sungai Siput pada Ahad.
Program dua hari itu yang bermula Sabtu dianjurkan Yayasan Kemajuan Islam Darul Ridzuan (KADIR).Turut hadir di program itu, ADUN Lintang Datuk Zolkafly Harun dan Pengerusi KADIR, Datuk Azhar Ahmad.
Menurut Dr Zambry, selain pembinaan jalan raya ke Pos Legap, kerajaan turut menyediakan kemudahan jalan raya daripada perkampungan Orang Asli Bawong ke Pos Legap yang membabitkan peruntukan RM29 juta dan peruntukan RM29 juta lagi bagi jalan raya daripada Pos Legap ke perkampungan Orang Asli di Pos Yum.