Semua pihak, khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan guru-guru perlu membantu memperkembangkan lagi bakat yang ada pada pemenang Majlis Ikhtifal KAFA supaya ia tidak hilang begitu sahaja.
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, platform yang sesuai perlu disediakan bagi mempastikan bakat yang ada pada mereka terus di gilap.
Beliau memberi contoh, guru-guru sekolah menengah boleh membantu menggilap bakat yang ada di kalangan pemenang agar tidak terus terpendam sehingga akhirnya hilang.
“Mereka ini seumpama sudah ada DNA atau ‘trademark’ yang kalau dibiarkan, kita akan rugi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Ikhtifal Kelas Al – Quran dan Fadhu Ain (KAFA) Peringkat Kebangsaan Kali Ke – 4 di Kolej Kesihatan Bersekutu Sultan Azlan Shah, Ulu Kinta pada Sabtu malam.
Hadir sama Pengarah Bahagian Kemajuan Islam JAKIM, Datuk Ali Mohamed.
Seramai 282 peserta dari 12 buah negeri mengambil bahagian dalam majlis itu, yang mempertandingkan enam kategori acara iaitu nasyid, tilawah Al – Quran, syarahan Arab, syarahan Melayu, tulisan khat dan tulisan jawi.
Drs Nizar berkata, peserta ikhtifal peringkat kebangsaan adalah yang terbaik di negeri masing-masing dan sekiranya usaha dibuat untuk terus memperkembangkan bakat mereka, tidak mustahil mereka akan berjaya sehingga peringkat lebih tinggi.
Beliau merakamkan penghargaan kepada JAKIM kerana memilih Perak sebagai tuan rumah majlis tahun ini.
Terdahulu, di dalam ucapannya, Drs Nizar berkata, sekolah agama rakyat (SAR) kini bukanlah sekolah kelas kedua, tetapi setanding dengan sekolah kebangsaan, yang mampu melahirkan modal insan yang berilmu.
Sehubungan itu, kata beliau, guru-guru SAR tidak seharusnya merasa rendah diri, sebaliknya mereka harus berbangga kerana mampu memberi pendidikan agama kepada para pelajar mereka.