IPOH : Orang Melayu tidak boleh mengambil ringan perbuatan salah laku sebahagian anak bangsanya, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, hari ini.
Baginda bertitah, pada hari ini, orang Melayu yang baru mula menikmati sebagian kecil daripada kejayaan berbanding dengan kejayaan lebih besar yang dicapai oleh orang lain, semakin menunjukkan sifat lupa daratan bagaikan mengulangi budaya kehidupan seperti yang pernah berlaku pada era penaklukan Melaka dan menunjukkan sifat yang semakin hanyut dalam perlumbaan kebendaan selain daripada ‘mabuk’ dilambung gelombang persaingan kuasa.
“Orang Melayu sedang berada dalam perlumbaan menconteng arang sesama sendiri, masing-masing ghairah menepuk air di dulang dan semakin terpercik ke muka sendiri.
“Dasar-dasar murni yang digubal untuk membantu Melayu, tidak tercapai sepenuhnya kerana terbukti berlaku ketirisan secara besar-besaran, dibimbangkan kekayaan yang baru berada dalam pegangan Melayu, mungkin berakhir dalam tempoh masa yang singkat selagi orang Melayu lebih tertarik dengan budaya berbelanja mewah untuk mencerminkan imej sosial daripada menabung dan melabur untuk membina aset bangsa yang lebih besar bagi jangka masa panjang,”titah baginda.
Baginda bertitah ketika merasmikan Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Casuarina@Meru, pagi tadi.
Turut berkenan berangkat ialah Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Turut mengiringi keberangkatan baginda ialah Raja Muda Perak, Raja Jaafar Almarhum Raja Muda Musa dan Raja Puan Besar Perak, Raja Nur Mahani Raja Shahar Shah;Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Zulkarnain dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Suraya Sultan Abdul Halim.
Mengiringi keberangkatan baginda ialah Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli dan barisan kepimpinan negeri.
Baginda turut bertitah, pada hari ini, maruah bangsa semakin diaibkan dengan perbuatan rasuah, pecah amanah, penipuan dan salah guna kuasa.
“Sewajarnya, bangsa berwaspada dengan titik-titik nila yang akan memusnahkan susu sebelanga,”titah baginda.
Sultan Nazrin turut bertitah, orang Melayu juga wajib berwaspada terhadap bentuk penaklukan baru yang tidak memerlukan soldadu Portugis, Belanda dan Inggeris.
“Penaklukan bentuk baru kini berlaku bersenjatakan kekayaan wang, melalui pembelian dan pemilikan hartanah.
“Sebelum nasi menjadi bubur, orang Melayu hendaklah kembali mencari hikmat kekuatan bangsa yang terletak pada agama Islam,”titah baginda.
Titah baginda lagi, bangsa Melayu yang terus bercakaran tidak akan menjadi bangsa yang kuat; umat Islam yang terus berkonflik tidak akan berupaya menjunjung ketinggian Islam