Amalan tauhid perlu dijadikan dasar dan prinsip sesebuah negara bagi membolehkan nilai keadilan dan persaudaraan dihayati sepenuhnya.
Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah amalan tauhid akan menjadikan manusia insaf serta meletakkan diri mereka sebagai hamba Allah sekaligus mengelak daripada bersifat ketuanan, angkuh, riak dan takbur.
“Apabila tauhid menjadi dasar dan prinsip sesebuah negara, nilai-nilai keadilan, nilai-nilai persaudaraan akan dihayati sepenuhnya. Manusia akan insaf bahawa mereka semua adalah hamba di sisi Allah.
“Tidak harus ada sifat ketuanan, sifat riak, sifat angkuh, sifat takbur di antara mereka. Dengan meletakkan diri sebagai hamba Allah, rasa persamaan ini akan menanamkan semangat persaudaraan yang penuh dengan kasih sayang,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada majlis sambutan Maal Hijrah 1438H/2016M peringkat negeri Perak di Bagan Serai pada Ahad.
Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Zalim.
Hadir sama Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, exco kerajaan negeri dan pengarah-pengarah jabatan.
Baginda turut memberi contoh bagaimana Rasulullah S.A.W melaksanakan sistem pentadbiran yang berjaya sehingga dapat membina sebuah negara islam yang rukun dan makmur meskipun penduduknya terdiri daripada pelbagai kaum dan budaya.
Titah baginda lagi, perasaan ukhuwah yang padu di kalangan rakyat adalah elemen terpenting untuk membina kekuatan sesebuah negara.
“Akhlak yang baik dan sifat amanah adalah ciri yang sangat dipentingkan. Hak-hak asasi manusia dihormati seperti yang terkandung dalam perjanjian dan piagam yang dimeterai bersama, selaras dengan larangan ALLAH S.W.T.
“Agar hamba Nya, tidak mencela, mencaci, menghina, menuduh, berprasangka, serta mencari dan membuka keaiban terhadap saudaranya yang lain, baik yang seagama atau yang berlainan agama,” titah baginda.