PARIT:Felcra Berhad mencadangkan agar Kerajaan Negeri segera mewartakan kawasan Seberang Perak sebagai zon pengeluar Agro industri.
Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Berhad, Zulkarnain Md Eusope, pewartaan itu penting bagi memastikan kawasan berkenaan kekal sebagai lokasi pengeluaran produk makanan negara terutama padi.
“Ia juga penting bagi memastikan kawasan itu tidak dibangunkan dengan pelaksanaan projek berbeza selain dari projek Agro Industri,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan pada program Mesra Kasih Pemimpin Bersama Rakyat sempena Program Permukiman Menteri Besar di Daerah Perak Tengah hari ini.
Majlis telah dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di Dewan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Parit di sini hari ini.
Zambry turut meluangkan masa beramah mesra dengan penduduk kampung sekitar satu jam.
Jelasnya lagi, Estet padi Felcra Seberang Perak yang seluas 3,600 hektar merupakan model kejayaan Felcra dalam mengurus tadbir estet padi iaitu terbesar di Malaysia.
“Menerusi sistem pengurusan yang cukup sistematik kawasan berkenaan mampu mengeluarkan sekitar 8 hingga 10 tan metrik sehektar setiap musim,” katanya.
Katanya keupayaan Felcra membangunkan estet padi Seberang Perak juga telah mendapat kenyakinan dari bank dunia World Bank dengan memberikan pinjaman sejumlah lebih USD60 juta.
Sementara itu beliau turut berkata sejumlah RM13.6 juta telah dibelanjakan oleh Felcra Berhad kepada golongan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Perak.
“Nilai agihannya melibatkan pemberian sejumlah RM300 seorang sebulan iaitu tunai RM200 dan bakinya RM100 berupa barangan,” katanya.
Terdahulu jelasnya, seramai 2500 orang golongan PPRT di negeri ini telah mendapat manfaat dari skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) yang diusahakan pihak Felcra.