KUALA LUMPUR: Malaysia mungkin mendapat akses vaksin COVID-19 dari China sekiranya Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati ia selamat dan berkesan untuk digunakan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin, berkata ia berpandukan dapatan KKM yang akan mengenal pasti sama ada ia sesuai, selamat dan berkesan untuk digunakan.
Ia adalah antara usaha kerajaan membantu pembangunan vaksin COVID-19 dengan menjalinkan sains diplomasi dan kerjasama strategik bersama negara berkeupayaan menghasilkannya.
Rentetan itu, beliau dijadual mengadakan sidang video bersama rakan sejawatnya dari China berhubung perkara itu, termasuk kemungkinan Malaysia menerima akses kepada vaksin COVID-19, petang esok.
Pasukan petugas kerjasama antara MOSTI, KKM dan Kementerian Luar ditubuhkan bagi meneroka peluang antara Malaysia dan negara lain untuk menjalin kerjasama strategik penyelidikan dan pembangunan vaksin serta ubat COVID-19, April lalu.
“Ini bagi membolehkan Malaysia mendapat akses kepada vaksin COVID-19 apabila ia dihasilkan, memandangkan negara buat masa ini tidak ada kemudahan pembuatan vaksin ke atas manusia.
“Malaysia juga sedang berusaha untuk berbincang dengan pihak China berkenaan pembangunan vaksin oleh syarikat dan institusi dari republik berkenaan. China kini mempunyai beberapa syarikat dan institusi yang sudah sampai ke tahap ke hadapan,” katanya.
Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) mengenai peranan MOSTI membantu usaha pembangunan vaksin COVID-19 di peringkat antarabangsa memandangkan Malaysia tidak mempunyai fasiliti pembuatannya, pada sesi lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Khairy berkata, MOSTI sudah mengambil inisiatif melalui pembabitan dalam Gabungan Inovasi Persediaan Wabak (CEPI) bagi membolehkan Malaysia mendapat akses pembangunan vaksin, pemindahan teknologi dan kepakaran baharu kepada penyelidik tempatan.
“CEPI juga komited kepada pengagihan vaksin secara adil terbuka dengan kos sederhana untuk seluruh dunia,” katanya.

Pelbagai alasan kedengaran termasuklah memenuhi permintaan yang hari ini memberikan seribu satu persoalan sejauh mana ketelusan mereka yang sebelum ini cukup lantang mempertikaikan perkara berkenaan sewaktu negara ditadbir oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).
Setelah pengumuman tarikh PRK Tanjung Piai yang ada diadakan pada 16 Nov nanti, berduyun-duyun pemimpin kerajaan mula memberi perhatian di kawasan tersebut.