Masyarakat tidak seharusnya memandang ringan soal perlakuan yang boleh membawa kepada percaturan negatif sensitiviti kepelbagaian keagamaan di negara ini.
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, terdapat beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum mengundang kemarahan dan rasa tidak puas hati.
Beliau memberi peringatan itu ekoran tindakan seorang pelanggan di pasaraya yang meletakkan anjing peliharaannya di dalam troli membeli belah yang viral di laman sosial sekitar Ipoh.
Drs Nizar berkata, menurut hukum syarak, najis dan air kencing anjing dikategorikan dalam jenis mughallazah iaitu najis berat, justeru itu, masyarakat harus menghormati amalan agama warga Muslim di negeri ini.
“Ianya bukan sahaja berfokuskan kepada aspek keagamaan, malah dari segi kebersihan kerana tempat itu merupakan pusat tumpuan masyarakat, kita tidak tahu tahap kesihatan anjing atau apa-apa sahaja haiwan peliharaan masing-masing.
“Tambahan pula, terdapat makanan basah dan kering di dalam pasaraya serta troli itu digunakan oleh semua untuk membeli makanan dan keperluang harian.
“Tidakkah mereka terfikir secara logik dari segi kesihatan dan kebersihan sebelum melakukan perkara sedemikian?,” katanya kepada PerakNews pada Isnin.
Sehubungan itu, Drs Nizar menasihatkan pihak pengurusan pasaraya agar lebih prihatin dan meletakkan lebih banyak larangan papan tanda membawa haiwan ke dalam pasaraya bagi menghormati sensitiviti kesemua pihak.
“Ingatan ini saya tujukan kepada semua pihak tanpa mengira kaum dan agama kerana ini merupakan perlakuan individu tersebut, jangan undang masalah, hormati sesama dan jangan timbulkan perkara mendorong kepada persepsi negatif.
“Jangan ambil perkara ini sewenang-wenangnya dan jaga etika kita ketika berada di tempat awam bagi kesenangan semua pihak,” katanya lagi.
Tinjauan Peraknews di pasaraya berkenaan pada pagi Selasa mendapati lebih 500 troli di pasaraya itu telah disamak oleh kakitangan pasaraya, dengan bantuan warga masjid berhampiran.
Malah, terdapat tanda larangan membawa haiwan ke dalam pasaraya di setiap pintu masuk sebelum kawasan penempatan troli diletakkan.