IPOH: Agama adalah bom jangka yang amat explosive, berpotensi mencetuskan porak-peranda dan mala petaka apatah lagi apabila dipilih untuk disensasikan secara politik, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Baginda bertitah, kesucian agama ada kalanya dinodai oleh orang-orang yang kurang memiliki hikmah, orang-orang yang cuba menyelit nilai, prasangka dan agenda peribadi lalu menjuarai serta mensensasikan sesuatu isu atas nama agama.
“Lalu realiti sejarah, kesahihan fakta dan pemikiran rasional tenggelam dan hanyut dibawa arus emosi. Status agama seseorang insan, sama ada tergolong sebagai ahli syurga atau ahli neraka ditentukan oleh ILAHI,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang diadakan di sini, hari ini.
Sultan Perak bertitah, tugas dan tanggungjawab manusia terutama mereka yang terlibat secara langsung mengurus dan mengendalikan urusan agama ialah untuk menyeru kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar.
“Sifat-sifat ihsan adalah penting untuk berusaha membantu seramai mungkin manusia menemui cahaya kebenaran.
“Adalah tidak kena pada tempatnya dan amat bercanggah dengan seruan ILAHI jika manusia sendiri memilih untuk menjatuhkan hukum mengenai status akidah dan tahap keimanan insan lain,” titah baginda lagi.
Titah baginda lagi, agama apabila difahami sepenuhnya merupakan instrumen penyatuan, keadilan dan dapat melahirkan manusia yang baik, manusia yang memiliki roh dan kekuatan dalaman, manusia yang memiliki sifat kehambaan kepada Tuhan.
“Para ulama dan para umara yang diamanahkan secara langsung menguruskan hal ehwal Islam amat perlu melaksanakan amanah secara berhikmah, bijak, adil dan menghormati perasaan dan insan lain.
“Realiti semasa dan realiti setempat wajib difahami. Keadilan wajib dilaksanakan, maruah insan lain wajib dihormati,” baginda bertitah.
Sumber – Perak Today