10:00 AM – Menghadiri Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Yang Ketiga Belas Perak Darul Ridzuan di SUK Ipoh.
11:15 AM – Menjawab Soalan Dari ADUN Selama Sempena Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Yang Ketiga Belas Perak Darul Ridzuan di SUK Ipoh.
03:00 PM – Perbincangan Bersama Pengarah Jabatan Agama Islam dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak di Pejabat SUK Ipoh.
10:00 PM – Perasmian Mock Trial Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah Perak Bersama Institut Pentadbiran Negeri Perak di Anjung Abdul Rahman ’Auf INTIM.
Keratan Akhbar / Portal / Perak Today
Perak Negeri Pertama Jelajah Indeks Syariah Malaysia
IPOH: Perak menjadi negeri pertama yang dipilih bagi siri jelajah Indeks Syariah Malaysia setelah ianya dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada bulan Februari yang lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Tadbir Urus Indeks Syariah Malaysia, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Abd Shukor Husin berkata, negeri itu telah memberi maklum balas yang pertama untuk menerima siri jelajah tersebut.
“Setelah lapan bulan indeks syariah diuar-uarkan dan dilancarkan oleh Perdana Menteri, maka kita telah menyediakan daripada segi fasilitis dalaman seperti penyelidikan dan sebagainya.
“Perak merupakan antara yang beri respon yang pertama, menerima kita untuk menjelaskan tentang indeks syariah ini iaitu dari segi perkara yang nak dilaksanakan melaluinya,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Wacana Eksekutif Indeks Malaysia Peringkat Negeri Perak 2015 di sini, hari ini.
Wacana tersebut telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah Kerajaan Negeri Perak, Datuk Mohd Nizar Zakaria
Turut hadir sama Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Yusop Husin.
Beliau berkata, Indeks Syariah yang diberi penilaian berdasarkan kepada Maqasid Syariah (dikehendaki oleh syarak) tersebut sedang berada di peringkat pelaksanaan.
Ujarnya, pihaknya telah menjalinkan kerjasama dengan beberapa pihak lain bagi melaksanakan penyelidikan terhadap lapan bidang yang telah ditetapkan.
“Kita telah mengadakan kerjasama dengan seramai 40 orang penyelidik daripada lima universiti dalam bidang seperti undang-undang, ekonomi, kesihatan, pendidikan, sosial dan beberapa lagi.
“Penilaian dalam lapan bidang ini adalah daripada Maqasid Syariah yang mana ianya suatu yang bersifat global dan tetap, boleh diterima oleh semua pihak, bukan hanya untuk umat Islam tetapi juga negara kita yang berbilang kaum serta agama,” tegasnya.
Tambah beliau lagi, Indeks Syariah Malaysia tersebut mengambil kira beberapa aspek termasuklah persepsi masyarakat terhadap pelaksanaannya.
“Pertama, perkara asas yang dinilaikan adalah pembuat dasar, peraturan dan undang-undang dan keduanya adalah pelaksanaan dasar.
“Kemudian, kita mengambil kira tentang persepsi masyarakat setelah kita ada dasar dan laksanakannya, adakah masyarakat boleh menerima dengan apa yang kita lakukan dengan pihak kerajaan,” jelasnya lagi.
Beliau berkata, hasil penyelidikan tersebut dijangkakan akan diketahui pada bulan Disember atau Januari depan.
Terdahulu, Indeks Syariah Malaysia telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada bulan Februari 2015 yang lalu.
Ia merupakan produk pelengkap tadbir urus Islam di negara ini melalui pengukuran tuntutan syarak yang lebih menyeluruh.
Indeks tersebut juga digunakan untuk menilai dan mengukur keseriusan kerajaan dalam mencapai lima aspek Maqasid Syariah (dikehendaki oleh syarak) iaitu pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan juga harta.