02:30 PM – Menghadiri Mesyuarat Pengerusi-pengerusi Jemaah Pengarah PPK Negeri Perak Bil.3/2015 di Bilik Mesyuarat Hotel Seri Malaysia, Ipoh.
06:30 PM – Menghadiri Jemputan Majlis Berbuka Puasa Pejabat Pendidikan Daerah Perak Tengah Tahun 2015 di Pejabat Pendidikan Daerah Perak Tengah.
Keratan Akhbar / Portal / Perak News
Kontraktor Perlu Berunding, Elak Projek Terbengkalai
Golongan kontraktor yang dimandatkan untuk mengendalikan projek khususnya dalam sektor perumahan oleh kerajaan dan agensi tempatan diminta perlu memberi komitmen berterusan bagi mengelakkan insiden projek terbengkalai.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, terdapat kontraktor yang mengambil sikap sambil lewa sehingga menyebabkannya terbengkalai.
Menurut beliau, kontraktor perlu sedar, apabila peruntukan diberikan oleh kerajaan negeri dan agensi-agensi berkenaan untuk membina sesebuah rumah, ia adalah untuk mempastikan keperluan asas masyarakat dapat dipenuhi.
“Memanglah ada masalah dan halangan yang berlaku, namun sekiranya berlaku, cara terbaik ialah melalui perundingan dengan pihak yang memberikan peruntukan, agar langkah wajar dapat diambil segera untuk menyelesaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kunci ‘mock-key’ kepada dua orang penerima rumah program Infra Bina Upaya ( IBU ) sumbangan Yayasan Bina Upaya di Kg Raja, Belanja Kanan pada Khamis.
Drs Mohd Nizar berkata, melalui perundingan yang sistematik, segala aspek yang perlu diperbaiki dapat dibawa ke pihak berwajib dan akan memudahkan penjelasan yang telus kepada mereka yang menantikan rumah baharu sejak sekian lama.
“Contohnya, apabila kontraktor berdiam diri dan lepas tangan, malah gagal datang berbincang dengan kita, maka rumah tersebut akan terbiar, terbengkalai dan bertambah buruk dari hari ke hari,” ujarnya.
Beliau menambah, rakyat tidak akan menyalahkan kontraktor, sebaliknya menuding jari kepada kerajaan dan agensi yang memberi sumbangan.
Beliau menegaskan, kontraktor perlu ingat, biarpun rumah tersebut dibina samada secara sumbangan atau bayaran ansuran, ataupun hanya dibina dengan kos rendah, bukan itu yang menjadi penanda arasnya.
“Kita akan sentiasa mengemaskini rekod kontraktor yang melaksanakan kerja secara berkualiti agar kita boleh menggunapakai khidmat mereka kelak, itulah yang harus mereka kekalkan,” katanya.