PARIT: Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan bahawa pemimpin UMNO perlu sentiasa memberikan harapan dan keyakinan bagi pembangunan rakyat, bukannya memainkan elemen ketakutan seperti yang dilakukan pembangkang.

Perdana Menteri itu berkata, permainan “politic of fear” hanya digunakan oleh pihak yang tidak mempunyai kuasa dan bertujuan untuk menumbangkan pemimpin di tampuk pemerintahan.

Jelas beliau, permainan politik yang berasaskan elemen ketakutan hanya akan merosakkan dan menghancurkan harapan rakyat kepada negara.

“Kita akan merugikan rakyat, tiada masa hadapan dan apa yang berlaku adalah kita (rakyat) akan berkecamuk, bercelaru malah tak tentu hala serta tiada panduan.

“Tapi, UMNO terus akan memberikan pengharapan kepada rakyat kerana selama 60 tahun pemerintahan, kita telah membuktikan bahawa kita (UMNO) adalah parrti yang telah banyak berbudi dan berjasa malah membawa perubahan kepada negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Parit di Dewan Iltizam, MRSM Parit di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, merangkap Pengerusi UMNO Negeri Perak dan barisan kepimpinan kerajaan negeri serta ahli-ahli UMNO Bahagian Parit.

Beliau dalam pada itu juga menyokong ucapan Dr Zambry yang menyatakan bahawa terdapat dua dimensi politik di Malaysia iaitu “politic of fear” dan “politic of hope” dan rakyat sewajarnya meletakkan keyakinan sepenuhnya kepada UMNO yang menerajui Malaysia selama ini.

Najib berkata, beliau tidak menafikan berlakunya perbezaan pendapat di kalangan UMNO, namun ia bukanlah menjadi punca utama untuk menghancurkan parti, malah harus setia untuk terus memberikan terbaik buat rakyat.

Jelasnya, pemimpin juga perlu memainkan peranan agar rakyat sentiasa memberikan kepercayaan kepada 109 bahagian UMNO di seluruh negara yang mempunyai rangka organisasi tersusun rapi selama ini.

Beliau berkata, peristiwa hitam di bawah tampuk pemerintahan pembangkang selama 11 bulan yang dialami oleh rakyat di Perak sewajarnya menjadi iktibar kepada masyarakat setempat.

“Kita mesti lakukan usaha mendekati pengundi, turun padang nampak muka jangan bila dah dekat…itu tidak boleh, nanti tukar. Selesaikan masalah rakyat baik besar dan kecil.

“Contohnya, projek MRT itu adalah sebagai permulaan, saya mempunyai falsafah dan teori ekonomi sebagai Perdana Menteri, walaupun sesetengah orang kata mengapa perlu laburkan peruntukan di Lembah Klang?

“Mereka tidak faham, apabila kita buat projek di Kuala Lumpur, ekonomi dan hasil negara bertambah dan inilah yang digunakan bagi peruntukan di luar bandar,” katanya lagi.

Beliau juga tegas menafikan kononnya Malaysia gagal di bawah pemerintahan UMNO sedangkan ia telah diiktiraf oleh majalah bertaraf dunia, malah akan membuka peluang kepada anak-anak muda baik dari dalam dan luar bandar untuk bersaing dengan lebih kompetitif di peringkat global kelak.