IPOH: Sejumlah RM150,892 berjaya dikumpul hasil kutipan yang dilakukan oleh masjid-masjid di seluruh negeri Perak untuk disumbangkan kepada masyarakat Islam Rohingya di Myammar.
Sumbangan tersebut telah disampaikan kepada Majlis Perundingan Islam Malaysia (MAPIM) dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Solidariti Rohingya daripada Masjid-masjid Negeri Perak yang diadakan di sini, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah Negeri Perak, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, sumbangan berkenaan adalah sebagai tanda simpati dan perikemanusiaan oleh ahli-ahli kariah masjid dan rakyat di negeri ini terhadap nasib yang menimpa masyarakat Islam Rohingya di Myammar.
“Ini merupakan salah satu usaha kesinambungan yang cukup berkesan sebagai umat Islam di negara kita khususnya di negeri Perak kepada umat Islam Rohingya yang telah pun menerima bentuk-bentuk kezaliman, penindasan apatah lagi sifat tanpa perikemanusiaan yang dilakukan terhadap mereka.
“Sumbangan ini akan disalurkan kepada masyarakat Islam Rohingya yang memerlukan melalui MAPIM dan juga Kelab Putra 1Malaysia dimana mereka akan mengadakan misi ‘Food Flotilla For Myanmar’ untuk menyampaikan bantuan makanan dan ubat-ubatan ke sana,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Yusop Husin dan Timbalan Presiden MAPIM Kebangsaan, Zulkifly Ibrahim.
Ujar Nizar lagi, semua pihak perlu mempunyai semangat saling bantu membantu terhadap mereka yang ditindas dan dizalimi bukan hanya di Myammar tetapi juga di negara bergolak lain seperti Syria, Gaza dan sebagainya.
“Kata orang-orang tua ‘cubit peha kanan terasa sakit peha kiri’… Melalui sumbangan ini sudah pasti, saya yakin dan percaya akan dapat meringankan sedikit bebanan serta hal-hal yang bersangkut paut dengan kehidupan masa kini.
“Kita tak tahu apa terjadi kepada mereka, apakah mereka makan, minum, bagaimana kesihatan mereka…jadi sudah pasti perlu untuk kita memberikan bantuan,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sumbangan di masjid-masjid di negeri ini masih diteruskan untuk disalurkan kepada mereka yang memerlukan termasuklah di Aleppo dan sebagainya.
“Namun begitu, saya ingin menegaskan bahawa apa jua sumbangan yang hendak dibuat perlu mendapat kebenaran khususnya daripada pihak yang dipertanggungjawabkan dan badan yang mempunyai autoriti supaya sumbangan ikhlas daripada masyarakat ini akan dapat disalurkan secara tepat, teliti serta telus,” tambah beliau lagi.