LUMUT: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan, Daerah Manjung, Pulau Pangkor, pada Khamis.

“Dengan Bismillahirahmanirrahim, Beta dengan ini suka cita merasmikan Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan Daerah Manjung, Teluk Baharu, Pulau Pangkor”, titah Baginda.

Hadir mengiringi Baginda, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, Exco-exco kerajaan negeri dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, Datuk Yusop Husin. Pembinaan sekolah tahfiz ini menelan kos sebanyak kira-kira RM 10 Juta.

Dahulu dikenali sebagai Maahad Tahfiz Pulau Pangkor, Sekolah Menengah Tahfiz ini mula mengabil pelajar pada Januari 2010. Namun, pada ketika itu, seramai 30 orang pelajar menumpang di Sekolah Agama Kampung Masjid. Bangunan Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan Daerah Manjung yang siap pada 2016 ini menempatkan 40 kaki tangan dan 150 pelajar.

Selepas perasmian, Baginda memperkenan mencemar duli menghadiri Majlis Perasmian Masjid Al-Badr Seribu Selawat Teluk Gedong, Masjid yang dibina pada pada Mac 2014 ini dilihamkan sendiri oleh Menteri Besar Perak dan mengetengahkan 1,000 selawat dan identiti negeri Perak pada hiasan dalamannya.

Sultan Nazrin juga dan berkenan menghadiri majlis berbuka puasa di perkarangan masjid. Kira-kira 1,000 orang tetamu menghadiri majlis berkenaan.