SUNGAI SIPUT: Kerajaan negeri bersama-sama pelbagai pertubuhan dan individu Islam sentiasa mencari jalan bagaimana untuk menyatukan ummah di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, antara pertubuhan dan individu itu ialah kepimpinan Yayasan Kemajuan Islam Darul Ridzuan (KADIR) dan pendakwah terkenal, Datuk Ustaz Mohammad Kazim Elias Al-Hafiz ( Ustaz Kazim).
Menurut Dr Zambry, beliau sering berbincang dengan Datuk Azhar Ahmad (Pengerusi KADIR) dan Ustaz Kazim supaya umat Islam di negeri ini tidak berpecah.
Lebih malang lagi, kata beliau, perpecahan itu hanya disebabkan perbezaan parti politik dan isu setempat yang dianggap kecil.
“Dua usaha yang cuba dilakukan ialah bagaimana hendak mewujudkan rasa kasih sayang dalam diri kita dan bagaimana hendak menyatukan ummah,” katanya ketika berucap ketika Ceramah Perdana Ustaz Kazim di Dewan Majlis Daerah Kuala Kangsar di sini malam tadi.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Ghazali Jalal; Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria; ADUN Lintang, Datuk Dzolkafly Harun
dan Azhar.
Dr Zambry mengucapkan terima kasih kepada Ustaz Kazim yang sentiasa bekerjasama dengan kerajaan negeri sejak beliau menjadi Menteri Besar.
Hampir 3,000 umat Islam dari sekitar Sungai Siput mendengar ceramah Ustaz Kazim mengenai puasa yang akan tiba dua minggu lagi.