Assalamualaikum w.b.t
Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia.
Terlebih dahulu marilah kita sama-sama mengucapkan syukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan limpah dan kurnia-Nya dapat kita bersama-sama berkumpul di Majlis Sambutan hari Pahlawan yang mana diadakan pada setiap 31 Julai setiap tahun.
Merekalah pejuang, merekalah penyelamat, merekalah mempertahankan negara bersama darah dan nyawa. Kepahlawanan mereka membolehkan rakyat Malaysia hidup dengan aman dan selamat sehingga ke hari ini. Mereka merupakan seorang insan yang berjiwa kental dan mampu menempuh apa juga kesukaran untuk memastikan kita semua tidur dengan nyenyak tanpa sebarang gangguan.
Keringat bakti yang dicurahkan oleh pahlawan-pahlawan tanah air dari pelbagai kaum untuk mengekalkan kedaulatan negara tanpa menghiraukan keselamatan diri serta keluarga merupakan satu pengorbanan yang tidak terbalas walau diberi ganjaran wang ringgit sekalipun.
Setelah 54 tahun negara mencapai kemerdekaan, rakyat Malaysia sudah berjaya berada pada satu kedudukan yang setaraf dengan rakyat negara luar yang boleh dianggap membangun. Keupayaan ini bukanlah satu pencapaian tanpa perancangan sebaliknya kemampuan rakyat mengharungi pelbagai keperitan dan kepayahan untuk berada di puncak kegemilangan hasil perjuangan para pahlawan-pahlwan negara yang boleh dikatakan sebagai pahlawan Satu Malaysia.
Pengorbanan mereka ini dapat dilihat dengan adanya anggota tentera yang gugur dan cacat anggota. Maka, apabila keadaan ini berlaku, keluarga mereka yang terdiri daripada balu dan anak-anak turut melakukan pengorbanan besar. Bukan itu saja, dari segi amalan ketenteraan, berbanding dengan pekerjaan lain, seseorang anggota tentera harus bersara awal daripada perkhidmatan mereka.
Selain itu, tugas ketenteraan yang tidak mengenal masa dan tempat turut menuntut pengorbanan diri dan keluarga yang tinggi. Perubahan kerjaya dalam umur pertengahan ini seringkali menyukarkan mereka sedangkan anak-anak baru saja membesar dan memerlukan pembiayaan yang semakin meningkat. Kesemua ini merupakan pengorbanan anggota tentera.
Sepanjang sejarah, negara ini amat terhutang budi kepada pengorbanan perajurit. Ketika pengganas cuba menguasai negara, para perajurit telah melakukan banyak pengorbanan untuk mempertahankan negara daripada jatuh ke tangan komunis. Malah kejayaan para perajurit melindungi rakyat daripada dizalimi komunis membolehkan negara ini mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.Maka apabila pengorbanan perajurit berjaya mematahkan keganasan komunis dan menamatkan Darurat pada 31 Julai 1960, maka tarikh itu menjadi Hari Pahlawan yang disambut setiap tahun hingga ke hari ini.
Namun begitu, selepas Darurat, perajurit-perajurit kita terus berkorban di hutan-hutan untuk menghapuskan saki-baki komunis hinggalah mereka meletak senjata pada tahun 1989.Kini, pasukan keselamatan mesti terus berjaga-jaga dan memelihara keamanan negara daripada apa saja ancaman yang boleh timbul untuk merosakkan kehidupan rakyat. Sesungguhnya, tidak ada apa yang dapat membalas pengorbanan perajurit-perajurit itu. Ini kerana pengorbanannya teramat tinggi nilainya. Mereka juga berjuang dengan ikhlas dan tidak mengharapkan balasan yang setimpal.
Dalam menyambut Hari Pahlawan pada 31 Julai setiap tahun, setiap daripada kita perlu bersyukur kerana masih diberi kesempatan serta peluang untuk mengingati dan menghayati semangat yang telah diperjuangkan oleh para pahlawan-pahlawan negara dalam mempertahankan kedaulatan negara tercinta.
Dalam dunia menghadapi era globalisasi, semangat kepahlawanan masih relevan dan diperlukan, apatah lagi dalam menghadapi cabaran-cabaran yang kian mendatang dan semua kaum perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara serta mengatasi kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri.
Negara ini adalah negara untuk semua rakyat, tanpa mengira kaum, agama, budaya serta fahaman politik dan semua kaum perlu mengangap bahawa mereka adalah rakyat Malaysia di mana segalanya perlu dinikmati bersama.Sebagai rakyat yang perihatin terhadap pengorbanan pahlawan ini seharusnya kita sentiasa menghargai setiap langkah perjuangan yang mereka hulurkan bukan untuk kita sahaja malahan untuk negara kita yang tercinta. Sejarah silam telah mencatatkan segalanya pengorbanan mereka.
Generasi muda dan generasi akan datang perlu diberi pendedahan mengenai usaha para pemimpin serta para pejuang negara dahulu dan masa kini dalam membina Malaysia sehingga mencapai kemakmuran dan kejayaan. Mereka tidak seharusnya alpa dengan kemajuan yang dikecapi sekarang tanpa menyedari pengorbanan yang telah dicurahkan oleh datuk nenek mereka yang terdahulu. Kita berharap landasan yang telah dibina sekarang ini, akan terus ditingkat dan disemai bagi kesejahteraan generasi Malaysia yang akan datang.
Sejak merdeka, rakyat negara ini hidup bersatu padu, rukun dan damai dan terlalu banyak peristiwa dilalui bersama dalam mempertahankan kedaulatan negara yang merdeka. Secara psikologinya, pengorbanan para pahlawan memberi contoh teladan kepada kita yang masih hidup dan mereka memperjuangkan serta mempertahankan kemerdekaaan sehingga rela mempertaruhkan jiwa dan raga demi merealisasikan cita-cita bangsa , agama dan juga negara.
Mereka juga sanggup mengorbankan kesenangan hidup demi membela kehormatan serta maruah bangsa dan negara. Bersempena dengan itu, sambutan Hari Pahlawan peringkat kebangsaan tahun ini mencatat sejarah apabila buat kali pertama tidak disambut di Tugu Negara sebaliknya diadakan di Dataran Merdeka yang mana upacara mengalungkan bunga di Tugu Negara yang menjadi acara tetap sebelum ini, juga tidak lagi diadakan pada sambutan hari ini.
Ini selaras nasihat Majlis Fatwa Kebangsaan supaya sambutan Hari Pahlawan tidak diadakan di kawasan mempunyai patung manusia manakala upacara mengalungkan bunga dimansuhkan kerana kedua-duanya bertentangan dengan Agama Islam.Perubahan lokasi tidak sedikit pun menjejaskan sambutan Hari Pahlawan tahun ini apabila ia masih berlangsung dengan penuh istiadat ketenteraan dan bersemangat. Ini terbukti dengan kehadiran ramai bekas anggota tentera dan polis yang sebelum ini berjuang mempertahankan kedaulatan negara selain turut menarik minat puluhan diplomat asing.
Sempena sambutan Hari Pahlawan tahun 2011, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru sokongan dan kerjasama orang ramai, agensi-agensi kerajaan dan pihak swasta supaya tampil ke hadapan menghulurkan sokongan dan menghargai setiap pengorbanan yang telah dilakukan kan oleh pahlawan kita demi keamanan didalam negara yang tercinta ini.. Saya yakin dan percaya pahlawan-pahlawan kita sentiasa dirahmati Allah S.W.T dan di limpah rezeki serta mendapat ganjaran keberkatan di dunia dan akhirat kelak. Insya’Allah.
Sekian,
YB Drs Mohd Nizar bin Haji Zakaria
(Ahli Parlimen Parit)